X

Kindly register in order to view this article
!

'Ambo tak malu pungut sampah'

Wan Ahmad Nabil menyediakan khidmat memungut sampah sebagai sumber pendapatannya. - Foto Bernama
A
A

TUMPAT - “Ambo tak malu pungut sampah. Ambo cari rezeki halal, tidak mencuri dan tidak meminta-minta,” demikian prinsip seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) ketidakupayaan fizikal (sawan) yang menyediakan khidmat memungut sampah sebagai sumber pendapatannya.

Wan Ahmad Nabil Wan Abdul Wahid, 30, dari Kampung Kutan Sungai, Wakaf Bharu, dekat sini, berkata, selain meneruskan kelangsungan hidup ekoran terkesan pandemik Covid-19, ‘kerjayanya’ itu adalah demi membalas jasa serta pengorbanan ibunya, Rohana Ngoh, 55, dan bapanya, Wan Abdul Wahid Wan Mamat, 65.

Anak kelima daripada 14 beradik itu mula menawarkan perkhidmatan memungut sampah dari rumah ke rumah dan kedai ke kedai, pada Oktober tahun lepas dan kini mempunyai lebih 40 pelanggan tetap, setiap bulan.

Wan Ahmad Nabil yang bekerja sebagai tukang urut sebelum ini berkata, ikhtiar memungut sampah itu tercetus kerana tiada perkhidmatan berkenaan disediakan di kawasan kejiranannya dan melihat ia sebagai satu peluang untuk mencuba nasib.

“Pada awal juga, saya meminta troli (motosikal roda tiga) dengan Tok Penghulu untuk menjual air tetapi memikirkan kita masih berada dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan pastinya kurang pelanggan, jadi saya pun buat keputusan untuk kutip sampah.

“Alhamdulillah, tidak sangka ramai yang memerlukan khidmat ini malah pelanggan juga semakin bertambah selepas hantaran saya di Facebook mendapat banyak perkongsian,” katanya ketika ditemui Bernama, di sini pada Khamis.

Menggunakan motosikal beroda tiga berserta troli sebagai ‘lori sampah’, pemuda itu memulakan pencarian nafkah seawal 8 pagi dan selesai kira-kira 2 petang selepas memungut sampah di setiap rumah dan kedai di kawasan sekitar Kampung Baru, Taman SBJ Putra dan Kota Kubang Labu, di Pasir Pekan.

“Saya akan pungut sampah di rumah atau kedai pelanggan dan tolong buangkan di tempat pembuangan sampah berdekatan. Saya bekerja selang sehari, maksudnya hari ini saya pungut sampah, esok cuti kemudian lusa bekerja semula,” katanya.

Wan Ahmad Nabil berkata, caj perkhimatan memungut sampah secara bulanan yang dikenakan bergantung kepada jarak perjalanan dari rumahnya ke lokasi pelanggan dengan caj serendah RM30 bagi sebuah rumah dan RM50 bagi premis kedai.

“Paling jauh saya pernah pungut sampah ialah jaraknya hampir enam kilometer dari rumah dan caj dikenakan antara RM40 dan hingga RM50 sahaja,” kata pemegang kad OKU itu yang turut menerima bantuan RM450 sebulan, dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, pelanggan, Nafisah Ahmad, 72, berkata, perkhidmatan pungutan sampah itu amat memuaskan hati kerana tidak perlu menunggu empat atau lima hari untuk lori sampah memungut sampah di kawasan rumahnya.

“Saya mula guna khidmat pungutan sampah disediakan Wan Ahmad Nabil ini sejak sebulan lepas. Bagus ada orang sanggup buat kerja sebegini, selang sehari dia datang pungut sampah jadi memang menyenangkan saya,” katanya yang tinggal dekat Kampung Pasir Pekan Hilir.B.- Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!