Tak sesuai bubar DUN awal di Perak - Veteran UMNO

IPOH – Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika ini disifatkan belum sesuai berikutan keperluan untuk memperkukuh persediaan dan penyatuan politik terlebih dahulu.
Pengerusi Veteran UMNO Perak, Datuk Nasarudin Hashim berkata, situasi politik di Perak berbeza berbanding Melaka, Johor dan Negeri Sembilan yang mempunyai perkembangan serta landskap politik tersendiri.
Menurutnya, UMNO perlu mengelak daripada terlalu yakin dengan perkembangan politik semasa sebaliknya melaksanakan tinjauan dan kajian lebih terperinci sebelum sebarang keputusan berkaitan PRN dibuat.
"Kalau tanya saya, kita jangan terlalu yakin. Kita kena buat tinjauan terperinci kerana politik ini dinamik. Perak ini unik sikit, bukan seperti di negeri-negeri lain.
"Memang ada suara-suara begitu (mendesak PRN diadakan), tetapi perkara ini perlu dikaji secara mendalam. Perak perlu membuat persediaan yang betul-betul rapi kerana situasi kita berbeza dengan Melaka dan Negeri Sembilan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Beliau berkata, berdasarkan pemerhatiannya, tahap penyatuan Melayu di Perak masih berdepan cabaran berbanding tiga negeri berkenaan, selain pengalaman kerjasama politik terdahulu yang tidak menjadi seperti diharapkan.
Katanya, perkara itu turut menjadi antara kebimbangan dalam kalangan kepimpinan parti khususnya berkaitan rundingan dan pembentukan kerjasama politik menjelang pilihan raya.
Bagaimanapun, Nasarudin berkata, perkembangan di Melaka menunjukkan kerjasama politik dan sokongan pengundi boleh merentasi kawasan yang bukan majoriti Melayu sekiranya pendekatan serta strategi yang sesuai dilaksanakan.
Justeru, beliau berpandangan semua pihak perlu mengetepikan kepentingan parti masing-masing dan mempunyai pemikiran lebih terbuka bagi membentuk kerjasama politik yang mampu bertahan dalam jangka panjang.
"Kalau kita hanya fikir parti kita sahaja, berkempen untuk parti sendiri, tidak akan ke mana. Kita mesti berpandangan jauh dan masing-masing perlu berjiwa besar.
"Politik bukan semudah itu. Kalau kita membentuk gabungan, bukan sekadar tubuh gabungan kemudian berdiam diri. Kepimpinan di peringkat atas mesti selalu berbincang dan memantau maklum balas di peringkat bawah," katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kerjasama antara parti dalam sesuatu gabungan perlu diperkukuh menerusi mesyuarat berkala sekurang-kurangnya setiap tiga bulan bagi mengenal pasti serta menyelesaikan sebarang masalah.
Menurutnya, pendekatan mengambil mudah hubungan antara parti selepas memperoleh kemenangan hanya akan membuka ruang kepada konflik dalaman yang boleh menjejaskan kekuatan gabungan.
Beliau berkata, data kajian serta maklum balas akar umbi juga perlu dikemas kini secara berterusan dan tidak hanya diberi perhatian apabila pilihan raya semakin hampir.
Tamat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

