Perak beri empat keutamaan perkukuh pertumbuhan ekonomi

IPOH – Kerajaan Perak menetapkan empat keutamaan bagi memperkukuh pertumbuhan ekonomi negeri untuk tahun 2027.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kesemua keutamaan itu meliputi usaha mempercepat realisasi pelaburan, menyediakan tenaga kerja berkemahiran, memastikan kesiapsiagaan infrastruktur dan memperkukuh penyertaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Menurutnya, keempat-empat keutamaan itu perlu diberikan perhatian oleh semua jabatan, agensi serta pihak berkepentingan bagi memastikan momentum pembangunan ekonomi negeri dapat diteruskan.
"Projek pelaburan yang telah mendapat kelulusan perlu dipantau dan dipermudah pelaksanaannya termasuk menangani segera sebarang kekangan berkaitan urusan tanah, kelulusan, utiliti serta penyelarasan antara agensi.
"Institusi pendidikan, pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pemain industri perlu bekerjasama dengan lebih rapat dalam mengenal pasti kemahiran yang diperlukan. Kita tidak mahu peluang pekerjaan tersedia, tetapi anak-anak Perak terlepas peluang kerana kekurangan kemahiran yang bersesuaian," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perak Economic Outlook 2027 di sebuah hotel di sini pada Isnin.
Saarani berkata, kesiapsiagaan infrastruktur turut menjadi keutamaan bagi memastikan bekalan air, tenaga, pengangkutan, logistik dan kemudahan digital bergerak seiring dengan jadual pembangunan industri.
Katanya, penyertaan PMKS pula perlu diperkukuh menerusi bantuan meningkatkan keupayaan perusahaan tempatan, memenuhi piawaian industri serta mendapatkan akses kepada peluang perolehan dan rantaian bekalan syarikat besar yang beroperasi di negeri ini.
"Keempat-empat keutamaan ini perlu diterjemahkan kepada tindakan yang tersusun, dengan tanggungjawab yang jelas dan penyelarasan berkesan.
"Kejayaan kita membawa masuk pelaburan mesti diikuti dengan keupayaan untuk melaksanakannya serta memastikan rakyat dan perusahaan tempatan mendapat manfaat daripada pembangunan tersebut," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, prestasi ekonomi Perak menunjukkan perkembangan positif apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri meningkat daripada RM80.5 bilion pada 2022 kepada RM91.5 bilion pada 2025.
Katanya, pertumbuhan ekonomi negeri meningkat daripada 2.8 peratus pada 2023 kepada 4.8 peratus pada 2024 sebelum melonjak kepada 5.7 peratus pada 2025, mengatasi pertumbuhan nasional sebanyak 5.2 peratus.
Menurutnya, sektor pembuatan turut mencatatkan pertumbuhan 15.2 peratus pada 2025, tertinggi di Malaysia sekali gus memperlihatkan peranan sektor perindustrian yang semakin penting dalam memacu ekonomi negeri.
Beliau berkata, keyakinan pelabur terhadap Perak juga dapat dilihat menerusi peningkatan nilai pelaburan swasta yang diluluskan daripada RM6.61 bilion pada 2022 kepada RM15.76 bilion pada 2025.
Saarani berkata, kerajaan negeri akan terus mempercepat pelaksanaan lima nod pertumbuhan strategik termasuk Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) di Tanjong Malim, Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP), Lumut Maritime Industrial City (LuMIC), Silver Valley Technology Park (SVTP) dan Perak Halal Industrial Park (HIP).
Katanya, pembangunan kawasan berkenaan perlu disusuli pertumbuhan aktiviti ekonomi sebenar yang mampu membuka peluang kepada perusahaan tempatan, mewujudkan pekerjaan berkualiti dan memperkukuh rantaian nilai industri.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada sektor keusahawanan, pertanian, perikanan, pelancongan dan perkhidmatan sebagai sumber pertumbuhan ekonomi yang penting.
"Pada tahun 2025, pengeluaran padi Perak mencapai 112 peratus daripada sasaran, manakala pendaratan hasil perikanan mencecah hampir 465,000 tan metrik dengan nilai RM3.77 bilion.
"Potensi ini perlu terus dibangunkan melalui penggunaan teknologi, peningkatan produktiviti dan kegiatan pemprosesan yang dapat memberikan nilai tambah kepada hasil keluaran tempatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

