Festival Nostalgia P Ramlee satukan tiga generasi

SHAH ALAM – Legasi seni Allahyarham Tan Sri P Ramlee terus hidup merentasi generasi apabila Festival Nostalgia P Ramlee anjuran Hikayat Fandom menghimpunkan masyarakat menerusi persembahan lagu, cerita dan tarian berasaskan karya Seniman Agung itu.
Festival yang berlangsung di The Grey Box, GMBB pada Sabtu menampilkan pelbagai aktiviti termasuk penceritaan kisah Nujum Pak Belalang, persembahan lagu klasik, tarian serta pameran sejarah dan poster filem P Ramlee.
Wakil Hikayat Fandom, Ninot Aziz berkata, penganjuran festival itu bertujuan menghidupkan semula warisan seni P. Ramlee supaya terus dikenali dan dihargai generasi muda.
"Melalui cerita dan lagu, legasi P Ramlee masih berjaya menyatukan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang.
"Dengan semangat yang sama, Festival Nostalgia P Ramlee mengajak kita menoleh kepada warisan bersama untuk melangkah ke hadapan sebagai satu bangsa," katanya dalam kenyataan.
Antara pengisian festival ialah persembahan penglipur lara Ummi Sham menerusi kisah Nujum Pak Belalang, manakala Rahim Rahman atau Ayah Im menghidupkan semula jenaka filem Ali Baba Bujang Lapuk dengan penglibatan penonton.
Program turut menampilkan persembahan pemain biola Orkestra Simfoni Nasional, Izzywan Musib menerusi lagu Getaran Jiwa, Tunggu Sekejap dan Gelora Cinta, selain persembahan tarian kumpulan Akar Seni Malaysia.
Pengunjung turut berpeluang menyertai tarian joget, zapin dan twist serta pertandingan Busana Terbaik yang dimenangi Rahim Rahman dan Bella.
Festival itu mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), manakala persembahan penglipur lara disokong Yayasan Hasanah menerusi geran ARTSfas.
Sementara itu, Festival Penglipur Lara akan berlangsung dari 14 November hingga 26 Disember 2026 dengan menampilkan Anugerah HSG 2.0 2026 serta persembahan Awang Batil, seni penceritaan tradisional dari Perlis oleh Tuan Romil Mahmud.
Dalam perkembangan berkaitan, Hikayat Fandom memeterai tiga perjanjian hak penerbitan buku dengan penerbit dari Mesir, Filipina dan London pada Persidangan Penerbit Sharjah di Emiriah Arab Bersatu (UAE), baru-baru ini.
Ninot berkata, perjanjian itu membuka peluang untuk memperkenalkan kisah-kisah Kepulauan Melayu kepada pembaca antarabangsa menerusi kerjasama penerbitan dan peluang geran penterjemahan.
Antara karya yang diketengahkan ialah Leyla’s Quest – Echoes of Uthmaniyah menerusi penyertaan Hikayat Fandom dalam program Publishing Futures anjuran British Council dengan sokongan Publishers Without Borders.
Selain itu, Hikayat Fandom turut mengumumkan Moon Lore, Stories of the Lunar Universe, sebuah antologi antarabangsa yang menghimpunkan karya penulis dari 18 negara.
Antologi disunting Ninot Aziz dan Johnny Gillett itu menampilkan legenda serta cerita rakyat daripada pelbagai budaya berkaitan bulan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

