Neelofa agih set kelengkapan jenazah, keranda untuk asnaf

Nezalani (dua dari kanan) menyerahkan set kelengkapan jenazah kepada Pondok Maheliah diwakili Mohd Fadhli Mamat. - FOTO SINAR HARIAN
Nezalani (dua dari kanan) menyerahkan set kelengkapan jenazah kepada Pondok Maheliah diwakili Mohd Fadhli Mamat. - FOTO SINAR HARIAN
A
A
A

TUMPAT - Sejumlah kelengkapan pengurusan jenazah bernilai hampir RM50,000 termasuk 100 set keranda diagihkan oleh usahawan dan selebriti terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor kepada golongan asnaf di seluruh negara bermula Rabu.

Sumbangan disampaikan menerusi Pertubuhan Kasih Neelofa untuk membantu meringankan bebanan dihadapi mereka dalam urusan pengebumian jenazah.

Neelofa yang juga pengerusi pertubuhan itu berkata, sebagai permulaan 200 set keperluan jenazah untuk asnaf disampaikan menerusi Pondok Maheliah.

“Set keperluan jenazah ini akan digunakan bagi tujuan pengurusan jenazah golongan asnaf di kawasan Kota Bharu, Tumpat, Pengkalan Kubor, Wakaf Bharu dan Pasir Mas.

“Sumbangan juga akan membantu usaha murni pihak Pondok Maheliah yang menyediakan perkhidmatan menguruskan jenazah asnaf secara percuma,” katanya dalam satu kenyataan kepada pemberita, pada Khamis.

Sebelumnya, Pegawai Tugas-tugas Khas Pertubuhan Kasih Neelofa di Kota Bharu, Nezalani Nawi menyerahkan set kelengkapan jenazah kepada Pondok Maheliah diwakili oleh Mohd Fadhli Mamat.

Hadir sama, Pengurus besar Pertubuhan Kasih Neelofa, Tina Noor Mohamed.

Kata Neelofa, set kelengkapan itu antara lainnya merangkumi set pengurusan jenazah perempuan, set pengurusan jenazah lelaki, set keranda dan kain pelekat yang kesemuanya berjumlah RM41,900.

Artikel Berkaitan:

“Diharapkan bantuan set kelengkapan jenazah ini dapat memudahkan dan melancarkan urusan pengebumian masyarakat setempat yang kurang berkemampuan.

“Kami juga berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang berinfaq kepada Pertubuhan Kasih Neelofa,” katanya.