Malaysia derma RM50,000 kepada Yayasan Pusat Islam Thailand

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BANGKOK - Malaysia menderma RM50,000 kepada Yayasan Pusat Islam Thailand bagi menyokong pembangunan masyarakat Islam di Thailand.

Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel menyerahkan sumbangan bagi pihak kerajaan kepada Naib Presiden Yayasan Pusat Islam Thailand, Profesor Dr Jaran Maluleem di pusat itu pada Selasa.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Misi, Kedutaan Malaysia di Bangkok, Bong Yik Jui dan Menteri Kaunselor, Megat Farez Zuhairin.

Dr Jaran merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sumbangan yang diberikan kepada Yayasan Pusat Islam Thailand.

"Kami mencadangkan untuk menggunakan sumbangan bagi tujuan pendidikan, seperti mewujudkan program membantu kanak-kanak Islam yang kurang bernasib baik dalam pembelajaran.

"Kami akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan cara terbaik menggunakan sumbangan itu dalam memartabatkan masyarakat Islam," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Jojie melahirkan harapan agar sumbangan itu dapat meningkatkan kerja-kerja yayasan dan pusat itu.

Pada Februari tahun ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dalam lawatan rasmi dua hari ke Thailand, menunaikan solat Jumaat di Pusat Islam Thailand. - Bernama.