X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 25 Jun 2022

Hubungi ZPP sebelum gantung bendera putih

Talian Hotline ZPP
A
A

BUKIT MERTAJAM - Umat Islam di Pulau Pinang boleh menghubungi talian hotline Zakat Pulau Pinang (ZPP) sekiranya terputus bekalan makanan sebelum menggantung bendera putih di luar rumah mereka.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amran Hazali berkata, tindakan mengibarkan bendera putih itu tidak salah kerana masing-masing mempunyai pendekatan untuk memaklumkan kesusahaan dialami namun masyarakat boleh berhubung dengan ZPP bagi mendapatkan bantuan.

Menurutnya, sebanyak RM1.5 juta disediakan untuk Skim Bantuan Kecemasan Makanan bagi memastikan umat Islam di negeri ini tidak terputus bekalan makanan.

“Selepas skim ini dilancarkan sehingga 26 Jun lalu, sebanyak 4,042 bakul makanan dengan peruntukan RM606,450 sudah diedarkan kepada mereka yang memohon.

“Melalui skim ini, bantuan diluluskan dan diberikan dalam tempoh 24 jam yang mana pihak kita sendiri akan menghantarnya terus ke depan pintu rumah mereka,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Amran berkata, pihaknya masih menetapkan syarat yang mana pemohon perlu mengisi borang kerana memerlukan rekod penerima untuk membolehkan pemberian bantuan pada masa akan datang selain mengelak individu yang mengambil kesempatan.

Amran
Amran

Jelasnya, walaupun ada pihak mempertikaikan prosedur itu namun sebagai institusi yang memegang amanah pihaknya memerlukan semua rekod terbabit.

Tambah beliau, ZPP juga sudah mengurangkan birokrasi dalam permohonan bantuan dengan hanya meminta salinan kad pengenalan pemohon.

“Memang orang kata kenapa waktu macam ini masih kena isi borang tetapi sebagai memegang amanah kami memerlukannya.

“Mungkin melalui rekod nanti kami boleh tahu bahawa penerima bukan sahaja perlukan bantuan makanan tetapi juga memerlukan bantuan lain kerana kami juga ada mendapat panggilan memohon bantuan susu dan sebagainya," katanya.

Mengulas lanjut, Amran berkata prosedur itu perlu dilakukan bagi mengelak pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan kerana terdapat kes dalam satu keluarga ada sehingga tiga ke empat orang yang memohon bantuan sedangkan bantuan makanan ini disediakan satu bakul untuk seisi keluarga.

“Kita memahami keadaan semasa pada hari ini dan kami sedaya upaya membantu mereka yang terjejas.

"Namun jangan risau bantuan ini akan diluluskan dalam tempoh 24 jam sahaja,” katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan ZPP menyediakan peruntukan sebanyak RM6.5 juta menerusi dua skim bantuan yang dilancarkan bagi membantu golongan terkesan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 dan Sekatan Pergerakan Penuh ketika ini.

Amran sebelum ini dilaporkan berkata, sebanyak RM1.5 juta disediakan untuk Skim Bantuan Kecemasan Makanan bagi memastikan umat Islam di negeri ini tidak terputus bekalan makanan.

Umat Islam di Pulau Pinang yang terjejas boleh menghubungi hotline ZPP di talian 018-3994318; 018-9899974; 018-9899975; 011-28724558; 011-10853394 dan 018-3994345.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!