Air pasang besar setinggi 3.4 meter diramal landa Terengganu hingga 10 Januari
KUALA TERENGGANU – Fenomena air pasang besar dijangka berlaku selama lima hari bermula 6 hingga 10 Januari ini di beberapa kawasan pesisir pantai di Terengganu sekali gus berpotensi meningkatkan risiko limpahan air laut dan banjir pesisir pantai.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Osman Abdullah berkata, berdasarkan ramalan Pusat Hidrografi Nasional, paras air laut tertinggi direkodkan di Stesen Kemaman dengan bacaan maksimum 3.40 meter pada 6 dan 7 Januari masing-masing sekitar jam 12 tengah malam.
"Paras air bagi stesen di Kemaman akan menunjukkan penurunan bermula 8 Januari dengan bacaan dari 3.2 meter kepada 2.6 meter pada 10 Januari depan.
"Bagi Stesen Kuala Terengganu, paras air laut tertinggi direkodkan pada 6 Januari dengan bacaan 2.90 meter pada jam 12 tengah malam, sebelum menunjukkan trend penurunan secara berperingkat sehingga 2.40 meter pada 10 Januari sekitar jam 1 pagi," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.
Jelas beliau, fenomena air pasang besar berpotensi menyebabkan limpahan air laut ke kawasan rendah berhampiran pantai dan muara sungai, terutama jika berlaku hujan berterusan atau angin kencang dalam tempoh sama.
Sehubungan itu katanya, orang ramai khususnya penduduk di kawasan berisiko dinasihatkan agar sentiasa berwaspada serta mengambil langkah persediaan awal bagi menghadapi kemungkinan banjir pesisir.
"Orang ramai juga diminta mematuhi semua arahan pihak berkuasa dan agensi berkaitan serta mengelakkan sebarang aktiviti berisiko di kawasan pantai sepanjang tempoh fenomena ini," katanya.
Ringkasan AI
- Fenomena air pasang besar dijangka berlaku selama lima hari bermula 6 hingga 10 Januari di beberapa kawasan pesisir pantai di Terengganu
- Paras air laut tertinggi direkodkan di Stesen Kemaman dengan bacaan maksimum 3.40 meter pada 6 dan 7 Januari
- Paras air laut akan menunjukkan penurunan bermula 8 Januari di Stesen Kemaman dan berperingkat di Stesen Kuala Terengganu sehingga 10 Januari
- Fenomena air pasang besar berpotensi menyebabkan limpahan air laut ke kawasan rendah berhampiran pantai dan muara sungai
- Penduduk di kawasan berisiko dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mengambil langkah persediaan awal bagi menghadapi kemungkinan banjir pesisir
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
