Padah letak tambang suka hati, 11 pemandu e-hailing dikenakan tindakan

Adenan (dua dari kiri) menasihatkan salah seorang pemandu e-hailing yang tidak menggunakan aplikasi ketika mengambil penumpang dalam operasi yang diadakan pada Selasa.
Adenan (dua dari kiri) menasihatkan salah seorang pemandu e-hailing yang tidak menggunakan aplikasi ketika mengambil penumpang dalam operasi yang diadakan pada Selasa.
A
A
A

BATU KAWAN- Sebanyak 11 buah kenderaan e-hailing persendirian ditahan dan diambil tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang selepas didapati mengenakan tambang yang tidak masuk akal selain tidak menggunakan aplikasi yang ditetapkan.

Pengarahnya, Adenan Md Isa berkata, kesemua pemandu kenderaan tersebut dikenakan tindakan dalam Ops Khas E-Hailing yang dijalankan sejak dua hari lalu di sekitar Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Jawi dan di hadapan Ibupejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan.

Menurutnya, hasil pemantauan mendapati, kesemua pemandu berkenaan hanya menggunakan aplikasi syarikat e-hailing sebagai panduan sahaja untuk ditunjukkan harga kepada penumpang.

"Intipan yang dibuat sejak beberapa hari lalu mendapati, mereka ini menggunakan aplikasi e-hailing sebagai panduan untuk menunjukkan harga kepada penumpang sahaja.

"Selepas penumpang setuju dengan harga tersebut, mereka terus membawa penumpang tanpa menekan butang terima (accept).

Ini bermakna, semua tambang tersebut diterima oleh mereka tanpa dipotong 20 peratus oleh syarikat e-hailing," katanya pada sidang akhbar di Stesen Penguatkuasa Valdor di sini pada Selasa.

Adenan berkata, jumlah kenderaan yang diperiksa dalam operasi dua hari itu adalah 14 buah dengan 11 dikenakan tindakan.

"Lapan kenderaan diperiksa pada semalam, lima daripadanya didapati tidak menggunakan aplikasi e-hailing manakala enam lagi diperiksa pada hari ini dan kesemuanya dikenakan tindakan kerana kesalahan sama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pihaknya mendapati, kesemua pemandu itu turut mengambil kesempatan ke atas penumpang dengan mengenakan tambang yang tidak masuk akal.

"Mereka ini akan menunggu di hadapan PKRC Jawi dan mensasarkan pesakit yang baru dibenarkan keluar.

Pesakit yang tidak mempunyai kenderaan untuk pulang ke rumah, terpaksa menggunakan perkhidmatan mereka walaupun harga yang dikenakan tidak munasabah.

"Selain di PKRC, mereka juga akan menunggu pesakit di hadapan IPDSPS kerana kenderaan Angkatan Pertahanan Awam (APM) akan menurunkan pesakit di situ.

"Operasi dijalankan selepas kita menerima aduan daripada orang awam yang memaklumkan pemandu e-hailing ini tidak menggunakan aplikasi selain mengenakan harga yang terlalu tinggi," katanya.

Ujarnya, sesetangah pemandu e-hailing sengaja menaikkan harga sehingga RM20 walaupun aplikasi menunjukkan harga sepatutnya yang perlu dibayar oleh penumpang adalah lebih rendah.

Beliau turut memberi amaran kepada semua pemandu e-hailing agar menggunakan aplikasi yang ditetapkan selain tidak mengenakan tambang yang tidak masuk akal demi kepentingan sendiri.

"Dalam keadaan ekonomi pada waktu ini, adalah tidak adil untuk mereka mengenakan tambang yang tidak masuk akal terhadap pesakit Covid-19 yang baru dibenarkan keluar.

"Kami akan terus menjalankan operasi dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada pemandu yang mengambil kesempatan ke atas penumpang terutamanya warga asing," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12(5)(d) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan denda RM1,000 sehingga tidak melebihi RM20,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.