Warga emas sebak terima vaksin

Latifah
Latifah
A
A
A

SHAH ALAM - Hanya air mata kegembiraan mengalir daripada seorang warga emas yang menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini pada Isnin.

Latifah Sa'ad, 71, pada awalnya menyangka proses menerima vaksin jenis Sinovac di PPV berkenaan perlahan dan akan dipenuhi ramai orang.

Namun begitu, jangkaannya tersasar apabila proses vaksinasi yang dilalui sangat pantas dan mudah, tidak seperti khabar angin yang dia dengari.

"Sukarelawan di sini sangat membantu memudahkan proses vaksinasi, saya sebak sebab terlampau gembira.

"Saya minta kepada orang ramai beranikan diri ambil vaksin, jangan susah hati, tak sakit pun," katanya sambil menyapu air mata kegembiraan.

Sementara itu, Mohd Alias Md Yusof, 71, teruja menerima suntikan vaksin di PPV berkenaan pada Isnin setelah hasratnya untuk menerima suntikan vaksin pada April lalu tertangguh akibat dijangkiti wabak tersebut.

Mohd Alias yang berasal dari Taman Medan, Petaling Jaya berkata, dia pernah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di MAEPS, Serdang dan dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh selepas kondisinya bertambah teruk.

"Saya tengok kawan-kawan yang terima vaksin tidak mengalami sebarang kesan sampingan terhadap kesihatan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Jangan takut untuk ambil vaksin, saya yakin penyakit ini datang daripada ALLAH SWT dan kita perlu berusaha untuk memutuskan rantaian wabak ini," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) menjalankan fungsi Naib Canselor, Profesor Dr. Roziah Janor berkata, jumlah pemberian vaksin di PPV berkenaan akan ditingkatkan daripada 750 dos sehari kepada 1,500 dos dalam masa dua minggu.

Beliau ketika sidang akhbar berkata, lebih 7,000 orang menerima suntikan vaksin di PPV tersebut setakat Ahad dan sebanyak 10 peratus daripada jumlah tersebut adalah golongan warga emas.

"Kita menggunakan model integrasi yang mana sukarelawan di sini adalah gabungan daripada petugas UiTM, pelajar dan kakitangan klinik swasta.

"Kami tidak menerima sebarang janji temu secara 'walk-in', sebaliknya hanya mereka yang mendapat janji temu suntikan vaksin melalui aplikasi MySejahtera sahaja dibenarkan," katanya.