Tak salah guna masjid untuk program vaksin

Muhammad Hana (tengah) menyaksikan penyerahan replika cek bernilai RM30,000 oleh Nezalani (dua dari kiri) kepada Mohd Sidek pada Isnin.
Muhammad Hana (tengah) menyaksikan penyerahan replika cek bernilai RM30,000 oleh Nezalani (dua dari kiri) kepada Mohd Sidek pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Penggunaan ruang solat di dalam masjid sebagai tempat pemberian vaksin Covid-19 tidak menjadi kesalahan dari segi hukum dan tidak berdosa.

Imam Besar Negeri Kelantan, Muhammad Hana Pizi Abdullah berkata, perkara itu juga tidak perlu menjadi pertikaian kerana berteraskan asas iaitu bertujuan untuk melindungi rakyat dari jangkitan wabak.

Menurutnya, ia sepertimana juga keputusan tidak membenarkan jemaah menunaikan solat di masjid bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

“Bezanya, satu tidak membenarkan solat berjemaah di masjid manakala satu lagi membenarkan orang ramai menerima vaksin di masjid.

“Penggunaan masjid sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sementara itu untuk penduduk setempat sahaja menerima vaksin dalam tempoh sehingga lima hari serta segera ditutup sebaik pemberian selesai berbanding solat jemaah yang berlaku secara berulang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Replika Cek kepada Masjid Sultan Mansor, Kampung Sireh di sini pada Isnin.

Pada majlis itu, Pegawai Tugas-Tugas Khas Pertubuhan Kasih Neelofa di Kota Bharu, Nezalani Nawi menyampaikan replika cek berjumlah RM30,000 kepada Imam Tua Masjid Sultan Mansor Kampung Sireh, Mohd Sidek Mamat bagi tujuan baik pulih masjid berkenaan yang mengalami kerosakan dalam kejadian letupan kereta pada bulan lalu.

Mengulas lanjut, keputusan membenarkan masjid sebagai tempat pemberian vaksin mendapat kebenaran daripada Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

“Perlaksanaan juga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan melakukan sanitasi di dalam masjid sebelum dan selepas program vaksinasi.

Artikel Berkaitan:

“Semua pihak seharusnya memahami perkara itu sebagai kemudahan masyarakat bagi menjalani kehidupan normal,” katanya.

Sementara itu, usahawan selebriti yang juga Pengerusi Pertubuhan Kasih Neelofa, Noor Neelofa Mohd Noor berkata, sumbangan wang tunai diberikan kepada MAIK bertujuan membaiki kerosakan termasuk tingkap masjid, kubah masjid, tandas awam serta pendawaian elektrik.

“Sebelum ini bantuan diberikan kepada 11 keluarga yang menghuni flat Kampung Sireh apabila kediaman mereka mengalami kerosakan susulan insiden letupan berkenaan.

“Jadi diharapkan sumbangan ini dapat meringankan beban pihak masjid untuk membaiki kerosakan yang dialami,” katanya.