Berdepan Croatia, ujian sebenar Sepanyol

Olmo
Olmo
A
A
A

PENYERANG Sepanyol, Dani Olmo meramalkan pasukannya berdepan ujian sebenar pada saingan Euro 2020 apabila berdepan Croatia pada aksi kalah mati di Stadium Parken, Copenhagen pada Selasa.

Olmo, 23, yang telah lima musim beraksi dengan Dinamo Zagreb menegaskan skuad La Roja tu bakal berdepan aksi kompetitif daripada Croatia pada aksi berkenaan.

Justeru menurutnya, kesemua pemain diharap berhati-hati ketika berdepan dengan skuad The Blazers itu nanti dalam usaha memastikan kemenangan.

“Selama lima musim beraksi di Croatia, saya lihat mereka begitu kompetitif dalam apa jua sukan yang diceburi.

“Mereka akan beraksi dengan bersungguh-sungguh dan melakukan apa sahaja demi memastikan kejayaan pasukan negara mereka.

“Mereka juga begitu menghargai objektif yang telah ditetapkan. Kini, mereka telah membuktikan keupayaan mereka pada setiap edisi Euro di sebalik kesukaran yang dihadapi,” katanya.

Untuk rekod, Sepanyol pernah tewas 1-2 kepada Croatia pada aksi peringkat kumpulan pada Euro 2016 lalu selain dibelasah 0-6 pada aksi Liga Negara-Negara UEFA 2018 lalu.

Sementara itu Olmo turut berharap agar kesebelasan Sepanyol dapat memanfaatkan pengalaman beraksi bersama kapten yang juga perancang utama Croatia, Luka Modric yang beraksi dengan Real Madrid dalam saingan La Liga.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pengalaman itu boleh dimanfaatkan bagi ‘merantai’ pergerakan Modric yang sekali gus diharap mampu menjejaskan rentak skuad The Blazers itu.

“Kebanyakan pemain Sepanyol mengenali Modric dan faham selok belok permainannya dan bagi saya itu satu kelebihan untuk ‘merantai’ pergerakan ‘arkitek’ bagi skuad Croatia itu,” kataya.