Program saringan Covid-19 lancar, saring 300 individu sejam

Suzana berkata kepada pemberita mengenai program saringan Covid-19 percuma untuk penduduk Hulu Kelang dan Bukit Antarabangsa pada Ahad.
Suzana berkata kepada pemberita mengenai program saringan Covid-19 percuma untuk penduduk Hulu Kelang dan Bukit Antarabangsa pada Ahad.
A
A
A

AMPANG - Program saringan Covid-19 percuma untuk penduduk Hulu Kelang dan Bukit Antarabangsa yang berlangsung di Dewan Serbaguna MPAJ AU5, di Keramat berjalan lancar walaupun dibanjiri orang ramai apabila 300 individu dicalit dalam masa sejam.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa, Suzana Shaharudin berkata, persiapan rapi telah dilakukan pihaknya untuk memastikan masa menunggu yang singkat serta keutamaan diberikan kepada golongan kurang upaya (OKU), ibu mengandung, warga emas dan keluarga dengan anak kecil.

“Program ini adalah untuk penduduk dalam kawasan DUN Bukit Antarabangsa dan Hulu Kelang.

"Sasaran keseluruhan kami adalah 2,000 orang, yang telah mendaftar menerusi aplikasi SELangkah 1,000 orang dan kami jangkakan ramai lagi akan datang hari ini secara walk-in.

“Kami berpengalaman dalam menguruskan program seperti ini, jadi kita boleh lihat aliran trafik lancar sejak program bermula sekitar jam 9 pagi hingga 10 lebih kurang 300 orang telah menerima ujian calitan,” katanya kepada pemberita pada Ahad.

Abd Jalil bersama dua anak dan isterinya, Sofiatunwahyuni Harun, 26 ketika hadir menjalani ujian saringan secara percuma pada Ahad.
Abd Jalil bersama dua anak dan isterinya, Sofiatunwahyuni Harun, 26 ketika hadir menjalani ujian saringan secara percuma pada Ahad.

Dalam pada itu, Abd Jalil Yadi, 35, seorang pemandu lori ketika ditemui berkata, program seperti ini amat dialu-alukan kerana dapat membantu orang ramai yang kurang berkemampuan menjalani ujian saringan secara percuma.

“Program ini sangat bagus, saya bawa satu keluarga hari ini termasuk anak umur dua tahun.

Artikel Berkaitan:

"Covid-19 ini kita tak tahu sebab tak boleh nampak, nak pergi buat ujian calitan sendiri bukan semua mampu, jadi saya mahu berterima kasih kepada pihak kerajaan Selangor kerana memudahkan rakyat,” katanya.

Pesara, Mohd Nor Yaakub, 61, pula berpendapat, program saringan secara besar-besaran seperti itu harus diperluaskan agar pencegahan awal dapat dibuat.

Beliau turut berpuas hati dengan kelancaran program tersebut apabila tidak perlu menunggu dalam tempoh lama.

“Saya sudah terima vaksin tetapi saya tetap hadir hari ini untuk memastikan saya dan keluarga tidak dijangkiti virus Covid-19 ini.

"Proses saringan pun berjalan sangat pantas. Saya tunggu sekejap sahaja tadi, tahu-tahu dah siap,” katanya.