Lelaki buruan polis ditembak mati

Anggota polis mengangkat mayat mangsa untuk dibawa ke hospital.
Anggota polis mengangkat mayat mangsa untuk dibawa ke hospital.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Seorang lelaki yang diburu polis sejak sebulan lalu ditembak mati berhampiran pondok persembunyiannya dalam kawasan hutan di Jalan Air Terjun, Kampung Bukit di sini, awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, suspek berusia 34 tahun itu dikesan di kawasan berkenaan sebelum sepasukan anggota polis tiba untuk menangkapnya, kira-kira jam 3.30 petang dan suspek bertindak agresif dengan cuba menyerang menggunakan sebilah parang.

Kamarul Rizal berkata, bagi mempertahankan diri, anggotanya melepaskan dua das tembakan ke arah suspek.

"Akibat tembakan itu, suspek yang tidak bekerja, rebah dan disahkan meninggal dunia kira-kira 30 meter dari pondok yang menjadi tempat tinggalnya.

"Suspek sedang diburu polis tinggal di dalam kawasan hutan itu bagi mengelak dikesan susulan melakukan kes pecah rumah dan curi di sekitar daerah Barat Daya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pagi Ahad.

Tambah Kamarul Rizal berkata, polis menemui sebilah parang, pemutar skru serta peralatan menghisap dadah dalam pondok suspek.

Katanya, suspek diburu sejak sebulan lalu bagi membantu siasatan atas pelbagai kes termasuk pecah rumah dan curi namun dia dilaporkan menghilangkan diri.

"Semakan mendapati suspek yang masih dikehendaki polis mempunyai 22 rekod membabitkan kes jenayah dan narkotik.

Artikel Berkaitan:

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat," katanya.