X

Kindly register in order to view this article
!

Dua beranak warga emas teruja terima vaksin serentak

GEMBIRA...Dua beranak Wan Esah (kanan) dan ibunya Semek Mat Zain, 96, selepas menerima suntikan Vaksin Covid-19 menerusi program jejak vaksin UniSZA di Sekolah Kebangsaan Kesom hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA TERENGGANU – “Saya ambil vaksin untuk keselamatan diri, tak layan apa yang orang cakap,” kata warga emas, Wan Esah Wan Long, 66, yang hadir mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di Sekolah Kebangsaan (SK) Kesom, Manir pada Sabtu.

Wan Esah yang mengalami masalah penglihatan akibat diabetes dan menggunakan sebelah mata palsu sejak dua dekad lalu selesai menerima suntikan vaksin dos pertama bersama ibunya, Semek Mat Zain, 96, yang mempunyai masalah pendengaran.

Kedua-duanya hadir selepas dijemput ke pusat pemberian vaksin di SK Kesom dan dihantar pulang oleh wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) seawal jam 9.30 pagi.

Menurut Wan Esah, dia sebenarnya sudah mendapat panggilan sebagai penerima suntikan vaksin di Chendering selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu namun tidak dapat hadir ekoran tidak mempunyai pengangkutan.

“Anak saudara yang tolong daftar dalam My Sejahtera, ketika itu hanya saya seorang yang dapat sebab mak tidak daftar. Selepas itu ada orang datang ke rumah tolong daftarkan nama kami dan hari ini saya dapat vaksin bersama mak.

“Alhamdulillah, rasa gembira dan syukur kepada ALLAH SWT, dapat kesenangan orang datang ambil dan hantar balik ke rumah,” katanya yang mempunyai seorang anak lelaki menetap di Johor, Mohd Asaidi Mamat, 43.

Beliau tidak menafikan sebelum ini dia berasa takut dan bimbang untuk menerima suntikan vaksin berikutan pelbagai cerita negatif mengenainya.

“Lepas vaksin saya rasa selamat nak jumpa anak, menantu dan cucu selepas sekian lama kami tidak bertemu kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya yang mempunyai lima cucu berusia antara 10 hingga satu tahun.

Dua beranak yang tinggal bersama di Kampung Kesom itu antara 600 penerima suntikan vaksin sempena Program Outreach Jejak Vaksin Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang diadakan di SK Kesom pada Sabtu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama isteri, To’ Puan Seri Tuan Faezah Tuan Abd Rahman dan Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan turut hadir meninjau pelaksanaan program itu.

Jejak Vaksin UniSZA merupakan program outreach yang menyasarkan kepada penduduk kampung di kawasan pedalaman di Terengganu dengan tujuan meningkatkan pengambilan vaksin dalam kalangan mereka.

Sementara itu Dr Hassan Basri berkata, pasukan ini akan menggunakan konsep pop-up centre dan menjalankan sekurang-kurangnya dua program seminggu dengan sasaran seramai 300 peserta bagi setiap program.

“Sebanyak 50 program dijangka dapat diadakan dalam tempoh enam bulan dan dijangkakan lebih 15,000 suntikan vaksin dapat diberikan kepada penduduk pedalaman,” katanya.

Menurut beliau, seramai 350 sukarelawan terlibat dalam program itu terdiri daripada pakar perubatan, pensyarah kejururawatan, pensyarah farmasi, jururawat, ahli farmasi, pelajar perubatan, pelajar kejururawatan dan sukarelawan bukan perubatan.

“Pasukan ini berupaya memberikan suntikan vaksin antara 300 hingga 600 orang sehari dan boleh dipertingkatkan berdasarkan kepada keperluan semasa,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!