Tempoh 14 hari buka Parlimen bukan ugutan

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

PONTIAN - Tempoh 14 hari bagi memanggil sidang Parlimen yang dinyatakan UMNO bukan satu ugutan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tempoh terbabit diberikan kerana UMNO menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu agar Persidangan Parlimen perlu disegerakan.

"Tempoh 14 hari yang dinyatakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi kenyataan pada Isnin lalu bukan ugutan atau amaran terakhir sebaliknya UMNO junjung titah Seri Paduka Baginda dan Raja- Raja Melayu.

"Tempoh 14 hari itu bukan keputusan presiden sendiri. Sebaliknya, ia keputusan Biro Politik UMNO yang dianggotai jawatankuasa pengurusan parti dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak Komuniti di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Nan Mah, Pekan Parit Sikom di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pegawai Kesihatan Kanan, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pontian, Dr Surinah Asan dan Senator Dewan Negara bagi Orang Asli, Datuk Ab Isa Hamid.

Ahli Parlimen Pontian itu juga menegaskan segala keputusan berhubung sebarang pengumuman dibuat oleh kerajaan terutama sidang Parlimen hanya akan dikeluarkan UMNO selepas Mesyuarat Kerja Tertinggi (MKT) yang dijangka diadakan pada 6 Julai ini.

"Setakat ini, UMNO tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi dan sebarang keputusan akan dibuat bersama pada mesyuarat MKT kelak.

Artikel Berkaitan:

"MKT akan diadakan secara dalam talian jika negara masih dilaksanakan Sekatan Pergerakan Penuh. Sebaliknya jika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) telah dikuatkuasakan pada tarikh persidangan, MKT akan diadakan secara bersemuka," katanya.

Pada Jumaat, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menyatakan Persidangan Parlimen secara hibrid dijangka boleh diadakan sekitar akhir Ogos atau selewat-lewatnya minggu pertama September 2021.

Bagaimanapun beberapa persiapan dari aspek perundangan, pentadbiran, teknikal, perolehan bekalan perlu diperkemaskan terlebih dahulu untuk memastikan persidangan secara hibrid itu berjalan lancar.