‘Apa lagi yang tinggal?’

Nasib LTSAAS di Subang kini menimbulkan tanda tanya apabila dikatakan akan dijual atau dipajak.
Nasib LTSAAS di Subang kini menimbulkan tanda tanya apabila dikatakan akan dijual atau dipajak.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan harus memikirkan solusi menang-menang yang benar-benar mengutamakan sentimen rakyat sebelum melaksanakan sepenuhnya cadangan menjual atau memajak Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang (LTSAAS).

Pakar Ekonomi daripada Asia e-University, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, cadangan itu hanya boleh disifatkan wajar jika ia menguntungkan kerajaan sebagai pilihan terakhir, berbanding sekadar melihat LTSAAS daripada terus terbiar tanpa pengurusan profesional.

Bagaimanapun tegas beliau, sentimen kepunyaan diri (self belonging) oleh rakyat terhadap lapangan terbang berkenaan juga perlu diambil kira jika benar kerajaan berhasrat untuk merealisasikan cadangan tersebut.

“Kita sudah kehilangan banyak prospek bersejarah seperti Stadium Merdeka dan Penjara Pudu misalnya, itu belum lagi dicampur hilangnya Stesen Keretapi (di Tanjung Pagar Singapura), manalah rakyat tidak terkilan.

“Kalau LTSAAS juga mahu dijual, apa lagi yang tinggal? Jangan sampai rakyat dan generasi akan datang hanya mampu bernostalgia apabila kesemuanya sudah tiada lagi di depan mata,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Shazali menjelaskan, apa yang menjadi isu ketika ini adalah jika benar LTSAAS akan dijual, siapa yang akan membelinya sudah cukup untuk mendorong kegusaran umum.

“Tender haruslah dilaksanakan secara telus dan terbuka, bukankah ia sesuatu yang tidak baik jika wujudnya sentimen kroni dan sebagainya.

“Idea-idea yang lebih baik daripada pihak swasta dan badan bukan kerajaan juga harus diimbang tara, siapa yang memiliki kertas cadangan terbaik, maka itulah pembida terbaik. Buat satu jawatankuasa jika perlu.

Artikel Berkaitan:

“Yang paling penting ia membuahkan hasil yang terbaik untuk rakyat, barulah dapat meredakan isu ini. Jangan sampai rakyat hilang hak kerana LTSAAS merupakan warisan yang harus kita pertahankan,” tegas Shazali.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan tiada perancangan jual LTSAAS

Jangan swasta, keluarkan LTSAAS dari Malaysia Airports

Dalam pada itu, Pakar Aviasi, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Mohd Haniff berkata, beliau kurang bersetuju jika pengoperasian dan pengurusan LTSAAS diambil alih dan dipajak kepada pihak WCT Holdings Bhd sepertimana yang digembar-gemburkan ramai pihak setakat ini.

“LTSAAS bukan saja memberikan keuntungan kepada MAHB dan Malaysia Airlines Berhad namun jika ia dijual, Airod Sdn Bhd yang menyelenggara dan membaik pulih pesawat tentera dan awam di situ juga terpaksa berpindah keluar.

“Kita tidak tahu di mana hala tuju mereka jika ia benar-benar berlaku. Dengan faktor landasan kapal terbang yang panjang serta kemudahan fasiliti di LTSAAS, syarikat itu lebih sesuai kekal di situ berbanding lapangan terbang di luar Lembah Klang.

“Buat masa ini, syarikat penerbangan seperti Malindo Air dan Firefly yang menggunakan pesawat lebih kecil seperti APR72 untuk ke destinasi berhampiran seperti Indonesia dan Singapura juga sudah memadai untuk kekal di landasan LTSAAS,” ujar beliau.

Abdul Rahmat yang juga bekas Ketua Cawangan Provos Marsyal Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berkata, dari aspek aviasi pula, beliau turut khuatir dengan masalah berbangkit.

Contohnya, kata beliau, kekurangan peralatan yang diperlukan pegawai kawalan trafik udara yang bertugas di menara seandainya LTSAAS diambil alih oleh pihak lain sekali gus menjejaskan trafik lalu lintas udara, selain faktor kerosakan yang tidak dapat diperbaiki dengan segera mengikut kriteria yang diperlukan.

“Jadi, ada baiknya LTSAAS kekal dikendalikan MAHB yang turut mendapat kepercayaan menguruskan Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen di Istanbul Turki,” jelas Abdul Rahmat.