X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

Industri hotel perlukan bantuan khas

Gambar hiasan. - Foto 123RF (Gambar kecil: Zakaria)
A
A

ALOR SETAR - Industri perhotelan yang sudah 'nyawa-nyawa ikan' akibat pandemik Covid-19 memerlukan bantuan khas bagi menghidupkan kembali industri berkenaan.

Presiden Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA) Chapter Kedah dan Perlis, Zakaria Zainol mengakui sedih dengan situasi berkenaan kerana industri pelancongan merupakan penyumbang ketiga terbesar Malaysia sebelum penularan wabak itu.

Beliau yang juga Setiausaha Koperasi Guru Guru Melayu Kedah Bhd berkata, dua hotel di bawah koperasi itu iaitu Hotel Darulaman Jitra dan Hotel Darulaman Alor Setar turut mengalami kerugian sejak tahun lepas disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Mujurnya, koperasi masih memiliki aktiviti ekonomi lain seperti stesen minyak, sewaan rumah kedai dan Mahsuri Medical Centre (MMC) yang membolehkan hotel ini dapat bertahan buat masa ini.

"Bagaimanapun, pengusaha hotel memerlukan bantuan khas kerana perniagaan mereka ketika ini bukan hanya terhenti tetapi juga menanggung bayaran utiliti, cukai, sewa dan gaji pekerja," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Zakaria turut berterima kasih kepada kerajaan dan pihak yang memberi bantuan melalui program seperti bantuan subsidi, gelembung pelancongan dan Jom Nginap.

"Bagaimanapun, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), kerajaan negeri, bank dan agensi berkaitan misalnya Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Air Darul Aman (Sada)diharap dapat memberi bantuan dengan penangguhan bayaran pinjaman, potongan 50 peratus bil dan cukai," katanya.

Beliau juga berharap bantuan lain dapat diberikan supaya industri perhotelan kembali relevan seperti dahulu.

Dalam perkembangan sama, persatuan itu menyambut baik pengumuman Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri bahawa Pulau Langkawi antara destinasi terpilih untuk pembukaan sektor pelancongan domestik menjelang November depan.

Zakaria juga menyeru ahli-ahli MyBHA Chapter Kedah dan Perlis khasnya dan Malaysia amnya untuk bersama dalam program anjuran kerajaan serta terus membayar yuran keahlian Mybha untuk kesejahteraan bersama.

Pada Jumaat, Sinar Harian mendedahkan sektor perhotelan makin nazak dengan sekurang-kurangnya 120 buah hotel ditutup sama ada secara penuh atau sementara.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!