X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 29 November 2021

Jalan luar bandar Kampung Mat Daling-Pasir Raja bakal dibina

Wan Rosdy
A
A

KUANTAN - Projek pembinaan jalan luar bandar dari Kampung Mat Daling, Jerantut hingga Kampung Pasir Raja, Dungun dijangka dibina di bawah perancangan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) tidak lama lagi.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Ialuan itu adalah sebahagian daripada projek sambungan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) (2016–2020).

“Jalan luar bandar dimaksudkan ialah Jalan Kampung Pasir Raja, Hulu Dungun, Terengganu ke Kampung Mat Daling, Jerantut sepanjang 52.55 kilometer yang mana 40 kilometer daripadanya ialah dari sempadan Pahang-Terengganu hingga ke Kampung Mat Daling.

“Jalan ini ialah dua fasa terakhir di bawah perancangan KPLB bagi melengkapkan jalan luar bandar di antara kampung dari daerah Jerantut ke daerah Dungun di Terengganu dan ia merupakan laluan dua lorong (single carriageway) dengan lebar 6.5 meter serta berturap

"Pembinaan jalan itu turut melibatkan pembinaan 12 buah jambatan termasuk 10 buah di antara sempadan Pahang-Terengganu dan Kampung Mat Daling,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Sebelum itu, Wan Rosdy berkata, perkara itu dijelaskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri yang dipengerusikan beliau.

Beliau menjelaskan, MMK dimaklumkan setakat ini, status pelaksanaan ialah pada peringkat perolehan termasuk rundingan tentang kos sebelum dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk keputusan.

“Adalah diharapkan projek ini berjalan lancar dan sebaik mendapat keputusan MOF, JKR dapat menggerakkan usaha untuk memula dan menyiapkannya dalam tempoh ditetapkan demi manfaat rakyat,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!