Perincikan nasib feri ikonik Pulau Pinang

Feri ikonik Pulau Pinang.
Feri ikonik Pulau Pinang.
A
A
A

BUTTERWORTH - Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) perlu memperincikan maklumat penyerahan lima buah feri ikonik Pulau Pinang kepada syarikat swasta seperti yang diumumkan sebelum ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, Satees Muniandy berkata, usaha untuk mengekalkan warisan Pulau Pinang ini disambut baik, namun SPPP juga harus menjelaskan beberapa perkara untuk rakyat mendapatkan gambaran sebenar tentang kegunaan feri berkenaan.

Menurutnya, seperti yang dinyatakan SPPP sebanyak lima syarikat telah dipilih melalui proses tender permintaan untuk cadangan (RFP) namun tidak dijelaskan apakah rancangan khusus syarikat-syarikat tersebut.

"Adakah feri-feri tersebut akan dibawa ke satu lokasi selain Butterworth untuk dijadikan restoran terapung?

"Dinyatakan dua buah feri akan dijadikan feri pelancongan namun timbul persoalan di manakah kedua-dua feri tersebut akan berpangkalan dan beroperasi? Semua maklumat ini rakyat Pulau Pinang ingin tahu," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Rabu.

Satees turut mempersoalkan apakah nasib dua buah feri ikonik yang masih berkhidmat pada masa ini selepas katamaran baharu sampai dan menggantikan penggunaan feri berkenaan kelak.

Beliau berkata, kesemua feri ikonik yang digunakan sebelum ini mempunyai nostalgia tersendiri dalam kalangan rakyat Pulau Pinang khususnya penduduk Butterworth.

Mereka tentunya berharap, warisan dan nostalgia itu tidak hilang begitu sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itulah saya berulang-kali telah meminta untuk sebuah feri dikekalkan di Butterworth, kerana ikoniknya feri ini kepada bandar Butterworth.

"Jadi, SPPP haruslah menjelaskan adakah feri ikonik ini akan hilang dari Butterworth selama-lamanya?," soalnya.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan lima buah feri ikonik Pulau Pinang akan diserahkan kepada syarikat yang berkelayakan mulai 1 Julai ini bagi tujuan pengubahsuaian menjadi muzium dan restoran terapung sekali gus sebagai feri pelancongan.

Pengerusi SPPP, Datuk Tan Teik Cheng berkata, pihaknya membuka tender Permintaan Untuk Cadangan (RFP) berhubung perkara itu bermula 29 Januari hingga 18 Mac lalu.

"Banyak cadangan diterima menerusi tender RFP tersebut.

"Setelah dinilai oleh beberapa jawatankuasa SPPP, Mesyuarat Lembaga Pengarah SPPP pada pertengahan bulan ini meluluskan syarikat yang berkelayakan untuk mengubahsuai dan mengendali lima buah feri ikonik.

"Syarikat-syarikat berkelayakan ini akan mengubahsuai feri ikonik tersebut kepada muzium terapung (sebuah feri), dua buah feri untuk pelancongan dan dua buah lagi sebagai restoran terapung," katanya.