X

Kindly register in order to view this article
!

Pelbagai spesies ikan ditemui mati dihanyut air

Tular kejadian pelbagai spesies ikan ditemui dihanyutkan air di Sungai Damansara berhampiran Seksyen 13 Shah Alam, pada Rabu.
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pelbagai spesies ikan ditemui mati dihanyutkan air di Sungai Damansara berhampiran Seksyen 13 Shah Alam menjadi tanda tanya orang ramai selepas video mengenai kejadian itu tular di laman Facebook (FB) pada Rabu.

Menerusi status dan video yang dimuat naik seorang pemilik akaun Facebook, Fiqri Hero memaklumkan, terdapat pelbagai spesies ikan ditemui mati berkemungkinan disebabkan pencemaran di sungai itu.

"Kalau kes pencemaran air (sungai) ini kita hendak laporkan kepada siapa (pihak mana)?.

"Banyak spesies ikan ditemui mati, saya sempat rekod kerana ada urusan lain," katanya.

Status itu menerima pelbagai reaksi, komen dan perkongsian dalam kalangan pemilik akaun Facebook lain.

Seorang pemilik akaun Facebook di dalam ruangan komen meminta perkara itu seharusnya dipandang serius pihak berwajib.

"Tolong pantau kilang buang sisa toksik di sungai ini dan jangan asyik tunggu rakyat sahaja membuat laporan," katanya.

Dalam pada itu, Sinar Harian turut mendapatkan pengesahan daripada Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor, Nor Aziah Jaafar berhubung kejadian itu.

Nor Aziah berkata, pihaknya menerima panggilan aduan daripada orang awam berhubung penemuan bangkai ikan di sungai itu kira-kira jam 2 petang Rabu.

"Susulan itu, JAS Selangor telah menghantar pasukan ke lokasi berkenaan dan buat masa ini siasatan masih dijalankan," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!