PGA Sabah rampas minuman keras, rokok bernilai hampir RM4.5 juta

Pelbagai jenis minuman keras dirampas PGA Sabah dalam satu serbuan di sebuah premis di Kampung Limbanak, Penampang.
Pelbagai jenis minuman keras dirampas PGA Sabah dalam satu serbuan di sebuah premis di Kampung Limbanak, Penampang.
A
A
A

PENAMPANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah berjaya merampas pelbagai jenis minuman keras dan rokok bernilai RM4.5 juta dalam Ops Kontraban di sebuah premis tidak bernombor di Limbanak, di sini pada Isnin.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, dalam serbuan kira-kira jam 4.30 petang itu, empat lelaki berusia antara 22 hingga 34 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, serbuan dan tangkapan dibuat oleh risikan pasukan task force perisikan Batalion 16 sejak April lalu dan semua barangan yang ditemui itu dipercayai diseludup masuk serta disembunyikan dalam 10 stor kontena di kawasan terbabit.

"Empat lelaki yang ditahan itu membabitkan dua lelaki warga tempatan dan dua lagi lelaki warga Indonesia yang tidak mempunyai dokumen sah di premis terbabit.

"Pemeriksaan lanjut menemui 10 stor kontena mengandungi pelbagai jenis minuman keras bernilai RM3,290,496.56, pelbagai jenis rokok bernilai RM1,212,640 dan kenderaan bernilai RM140,000 dengan jumlah keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM4,643,136.56," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohd Abduh berkata, kesemua tangkapan diserah kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dan mereka direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan.

"Barang rampasan pula dihantar ke stor berpusat barang kes IPD Kota Kinabalu setelah selesai proses dokumentasi.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel Berkaitan: