Tubuh jawatankuasa khas bincang isu Lynas

Amanda (kanan) beramah mesra dengan penghuni Rumah Orang-orang Tua Jabor, Memorial Park, Jabor, hari ini.
A
A

KUANTAN -Satu jawatankuasa bertindak telah diwujudkan antara Lynas Corporation Ltd (Lynas) dengan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) bagi mengadakan perbincangan terperinci berhubung sisa yang dihasilkan kilang memproses nadir bumi itu.

Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif Lynas, Amanda Lacaze berkata, jawatankuasa itu sudah ditubuhkan pada bulan ini.

Menurutnya, justeru perbincangan mengenai syarat baharu kementerian berkenaan mengenai sisa mengandungi bahan radioaktif iaitu Fosfogypsum Besi (WLP) dibawa keluar dari negara ini akan diadakan.

Sisa WLP sedang dalam perbincangan terperinci dengan pihak Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

"Lynas juga akan bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi mencari penyelesaian terbaik, seterusnya memastikan kita dapat beroperasi di negara ini," katanya.

Beliau ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina di Rumah Orang-orang Tua Jabor, Memorial Park, Jabor hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden Bahagian Sumber Manusia dan Komuniti Lynas, Mimi Afzan Afza.

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dalam kenyataannya sebelum ini, mengenakan dua syarat untuk pembaharuan lesen kilang Lynas antaranya menghantar sisa mengandungi bahan radioaktif keluar dari negara ini.

Kenyataan itu, meminta agar Lynas memastikan sisa WLP yang mengandungi bahan radioaktif hendaklah dihantar keluar dari negara ini dan bagi sisa buangan terjadual Gypsum Magnesium (NUF) yang bukan radioaktif.

Selain itu, Lynas perlu mengemukakan suatu pelan tindakan bagi pelupusan buangan yang terkumpul sebelum ia boleh dipertimbangkan bagi permohonan kelulusan di bawah Peraturan 9 (6) dan 9 (7), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Menyentuh isu NUF, Amanda berkata, pihaknya akan mencari satu pelan tindakan bagi melupuskan sisa buangan terjadual tersebut.

Beliau sebelum itu memaklumkan Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina adalah sebahagian aktiviti syarikat berkenaan.

Katanya, syarikatnya akan terus menyumbang kepada kebaikan serta kesejahteraan bagi komuniti setempat.