Jawatankuasa dibentuk teliti persidangan Parlimen: PM

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sebuah jawatankuasa yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang telah dibentuk untuk meneliti aspek-aspek penting sebelum persidangan Parlimen diadakan.

Beliau memberikan komitmen bahawa keputusan pembukaan persidangan Parlimen akan diputuskan oleh kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang di dalam jawatankuasa berkenaan.

"Saya minta jawatankuasa yang dianggotai wakil-wakil kerajaan dan pembangkang untuk nilai perkara berkenaan, dan selepas itu barulah mereka maklumkan kepada saya sama ada sudah bersedia atau tidak untuk memulakan sidang Parlimen.

"Sama ada persidangan akan dibuat secara hibrid atau fizikal, ini akan dirujuk kepada peraturan tetap yang ada sekarang," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Katanya kerajaan perlu memperhalusi semua perkara bagi mengelak timbul masalah selepas pelaksanaannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan Agong, Majlis Raja-Raja tidak boleh dipertikai: Azalina

"Saya harus teliti. Saya faham sangat-sangat dan saya dinasihatkan bukan sahaja oleh Menteri Undang-Undang, tetapi oleh Peguam Negara supaya tindakan saya dan kerajaan selari dengan apa yang ada dalam perlembagaan,” katanya.

Jelasnya kerajaan antara lain perlu mengambil kira sama ada persidangan boleh diadakan secara fizikal, dan sama ada pelaksanaan secara hibrid selari adalah dengan peruntukan di dalam Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, jelasnya wujud juga keperluan untuk mengambil kira soal persiapan Parlimen bagi urusan persidangan secara fizikal itu sendiri, termasuklah aturan tempat duduk ahli Parlimen yang perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Muhyiddin berkata bukan niatnya untuk melengahkan pembukaan persidangan Parlimen, namun ini antara isu yang harus diperhalusi terlebih dahulu.

Katanya beliau berharap rakyat faham, dan menurutnya ia bukan soal kerajaan mahu menafikan hak ahli Parlimen atau menyanggah kenyataan Yang di-Pertuan Agong atau Raja-raja Melayu.

"Saya faham tanggungjawab sebagai perdana menteri besar tetapi saya kena berlaku adil supaya nanti tidak timbul isu-isu dan masalah kemudian...Ini satu perkara yang harapnya rakyat faham dan tunggu," katanya. - Bernama