Martabat Mahkamah Syariah

No Image Caption
A
A
A

SEMASA zaman kerajaan Persekutuan dipimpin BN, pernah diuar-uarkan pada 2012 bahawa naik taraf Mahkamah Syariah sudah berada di peringkat akhir. Penambahbaikan dan naik taraf Mahkamah Syariah dibuat dari sudut prasarana, struktur hierarki, perjawatan, emolumen dan banyak lagi. Namun sehingga jatuhnya kerajaan tersebut pada Mei 2018 tiada apa perubahan besar berlaku kepada Mahkamah Syariah.

Naik pula Pakatan Harapan yang mahu menepis persepsi anti Islam ini telah menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan di bawah Majlis Raja-Raja yang dianggotai tokoh pentadbir, agama dan akademik.

Kerajaan Persekutuan ketika itu memaklumkan menerima kesemua cadangan jawatankuasa tersebut. Namun sehingga berlaku pertukaran kerajaan, kita masih belum diberitahu cadangan yang dikemukakan ataupun melihat sekurang-kurangnya ada perubahan drastik di Mahkamah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan. Saya sendiri beberapa kali dipanggil untuk memberi cadangan kepada penambahbaikan Mahkamah Syariah di hadapan jawatankuasa tersebut.

Walaupun kertas cadangan tersebut adalah rahsia, sekurang-kurangnya rakyat perlu tahu strategi kerajaan dalam memartabatkan Mahkamah Syariah yang sekian lama dipinggirkan. Sehingga kini kita masih tidak tahu secara rasmi kedudukan resolusi jawatankuasa tertinggi tersebut.

Kerajaan pimpinan Perikatan Nasional kini pula lebih menumpukan krisis kesihatan, ekonomi dan politik. Sekali lagi Mahkamah Syariah terlepas pandang daripada pihak eksekutif dalam usaha untuk memartabatkannya.

Timbul persoalan di manakah kedudukan Mahkamah Syariah sama ada di peringkat Persekutuan ataupun negeri. Sehingga kini hanya negeri Perak sahaja yang telah menambah hierarki mahkamah daripada tiga tingkat kepada empat. Itupun perjawatan untuk hakim tertinggi masih belum sama dengan kedudukan hakim tertinggi di Mahkamah Sivil. Dari sudut penubuhan pula hanya negeri Terengganu sahaja yang memperuntukkan penubuhan Mahkamah Syariah di dalam Undang-Undang Tubuh Negeri tersebut. Bagi negeri-negeri lain, penubuhan Mahkamah Syariah hanya disebut dalam enakmen negeri.

Ia berbeza dengan penubuhan Mahkamah Sivil yang terdapat dalam undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan. Inilah yang selalu didebatkan taraf Mahkamah Syariah lebih rendah dari Mahkamah Sivil kerana instrumen penubuhannya adalah berbeza.

Jelaslah keprihatinan pihak eksekutif kepada Mahkamah Syariah perlu dipertingkatkan demi meletakkan keadilan kepada paksi jati diri negara iaitu Islam. Saya mengambil contoh di dalam mengharungi pandemik Covid-19 ini kerajaan Persekutuan telah menggubal Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 (Akta 829) yang antara lain memperuntukkan pengubahsuaian kepada beberapa akta antaranya Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (Bahagian XVI), Akta Mahkamah Rendah 1948 (Bahagian XVII) dan Akta Kaedah Mahkamah Rendah 1955 (Bahagian XVIII). Kesemua Akta tersebut hanya terpakai di Mahkamah Sivil.

Artikel Berkaitan:

Tiadapun akta seperti Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998 atau Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dimasukkan di dalam Akta Langkah Sementara di atas.

Malah Dewan-Dewan Undang Negeripun tidak mengambil tindakan sama bagi mengubah suai Enakmen Tatacara Mal dan Enakmen Tatacara Jenayah mereka bagi membolehkan perbicaraan dijalankan secara dalam talian ataupun menggunakan cara elektronik yang lagi bagi melancarkan prosiding mahkamah syariah dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.

Persoalan kini ke mana hala tuju Mahkamah Syariah selepas ini? Adakah usaha memartabatkan Mahkamah Syariah kini kian terbantut? Jika diambil kira aspek-aspek lain seperti perjawatan, prasarana dan isu dalaman Mahkamah Syariah banyak lagi perkara perlu difikirkan untuk penambahbaikan.

Moga nukilan kali ini dapat mencambahkan pemikiran dan mengajak pembaca dan kerajaan mengambil tindakan meletakkan kembali mahkamah syariah pada tempat sepatutnya.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.