5 kakitangan pusat perubatan dikompaun langgar SOP

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA PILAH - Lima kakitangan sebuah pusat perubatan di Jalan Melang di sini dikompaun selepas ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd Ghani berkata, tindakan kompaun itu dilakukan dalam satu operasi bersepadu pematuhan SOP PKP 3.0 bersama Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Pilah, Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah.

"Operasi dijalankan atas permintaan pengurusan premis berkenaan setelah mendapati kadar pematuhan SOP oleh warga kerjanya adalah rendah.

"Hasil pemeriksaan mendapati individu berkenaan yang berumur 25 hingga 48 tahun tidak memakai pelitup muka dan tidak membuat pendaftaran masuk melalui aplikasi MySejahtera atau buku daftar semasa memasuki premis tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Amran berkata, lima individu itu masing-masing dikompaun RM1,500 selepas didapati melanggar Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Selain tindakan kompaun, nasihat juga telah diberikan bagi memastikan tahap pematuhan yang tinggi dalam kalangan kakitangan pusat perubatan serta orang awam yang berurusan di situ.

"Adalah menjadi harapan pemimpin negara agar semua lapisan masyarakat benar-benar mematuhi SOP PKP 3.0 bagi mengekang penularan wabak Covid-19," katanya.

Mengikut data yang dikongsikan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan pada 8 Jun lalu, terdapat kluster baharu direkodkan di Kuala Pilah iaitu Kluster Jalan Melang kategori kumpulan berisiko tinggi melibatkan kakitangan sebuah pusat perubatan di Jalan Melang, Kampung Gemilang Kuala Pilah.

Artikel Berkaitan:

Kes indeks bagi kluster ini merupakan lelaki tempatan berumur 30 tahun yang dilaporkan positif pada 30 Mei lalu hasil saringan individu bergejala dan kes mengalami gejala bermula 28 Mei lalu.