Penjual buah tular dikompaun RM200

Penguat kuasa KPDN Melaka melakukan pemeriksaan di kedai buah di Masjid Tanah pada Rabu.
Penguat kuasa KPDN Melaka melakukan pemeriksaan di kedai buah di Masjid Tanah pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Gara-gara mempamerkan harga buah mangga 'murah' yang mengelirukan, seorang peniaga dikompaun kerana menggunakan alat timbang tamat tempoh dan gagal menentu sahkan alat timbang berkenaan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Norena Jaafar berkata, tindakan individu itu terbongkar selepas pegawai dan anggota penguat kuasa ke lokasi terbabit di Masjid Tanah setelah tular di media sosial mengenai penjual buah didakwa menipu pembeli dengan mempamerkan harga buah yang tidak tepat baru-baru ini.

Menurutnya, pemeriksaan yang dilakukan mendapati penjual terbabit melakukan kesalahan di bawah Akta Timbang Sukat 1972 kerana timbang yang digunakan oleh peniaga bagi tujuan perniagaan telah tamat tempoh tentusahkan dan dikompaun RM200.

"KPDN Melaka melalui Seksyen Penguatkuasa telah menjalankan serbuan dengan menyamar sebagai pembeli dan berpakaian preman bagi mengesahkan isu ini.

"Hasil serbuan mendapati berlaku salah faham iklan berkenaan yang berkaitan dengan pelbagai jenis buah yang dijual namun, dia dikompaun bawah Akta Timbang Sukat 1972," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambahnya, peringatan tegas turut diberikan kepada peniaga agar mempamerkan tanda harga yang jelas dan tepat pada setiap jenis barangan yang diniagakan.

"Jadi jika barangan yang diiklankan itu tidak ada mereka juga dinasihatkan menyimpan iklan yang dipamerkan supaya tidak menimbulkan sebarang kekeliruan dalam kalangan pengguna," katanya.