Kluster tempat kerja gusarkan rakyat

 Kelekaan menjaga SOP banyak mengundang kepada peningkatan kes Covid-19, terutamanya di tempat kerja.
Kelekaan menjaga SOP banyak mengundang kepada peningkatan kes Covid-19, terutamanya di tempat kerja.
A
A
A

[INFOGRAFIK] Dalam tempoh seminggu dua ini, kluster tempat kerja adalah topik hangat yang dibincangkan jika berbicara soal Covid-19.

Mana tidaknya, rata-rata jangkitan harian dicatatkan muncul menerusi kluster berkenaan melibatkan beberapa sub kluster, terutamanya pembuatan atau perkilangan.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 218 kluster baharu tempat kerja direkodkan dari 1 hingga 16 Jun 2021.

Jumlahnya bukan lagi membimbangkan tetapi menakutkan jika diteliti satu persatu angka yang dicatatkan pada setiap hari.

Ia ditambah pula dengan penularan varian baharu Covid-19 (VOC) yang lebih ganas dan cepat merebak.

Di samping itu, trend jangkitan yang dicatatkan dalam tempoh berkenaan juga dilihat konsisten dari sehari ke sehari dengan purata 13 kluster baharu setiap hari.

Tidak hairanlah kalau ramai dalam kalangan rakyat yang tidak senang duduk setiap kali KKM mengeluarkan data terbaharu jangkitan Covid-19 pada setiap hari.

Segelintir berpendapat, kluster tempat kerja adalah punca utama jangkitan Covid-19 di negara ini tidak turun.

Artikel Berkaitan:

Mereka percaya kemunculan kluster baharu di tempat kerja berpunca daripada kegagalan majikan dan pekerja mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kelekaan menjaga SOP banyak mengundang kepada peningkatan kes Covid-19, terutamanya di tempat kerja.

Beliau berkata, KKM sudah menetapkan pelbagai garis panduan dan SOP seperti penjarakan fizikal serta mengehadkan jumlah pekerja untuk hadir bekerja.

Bagaimanapun, tahap kesedaran berkenaan kepentingan pelaksanaan SOP itu masih perlu dipertingkatkan, tambahnya.

Katanya, masyarakat khususnya majikan dan pekerja perlu menyedari bahawa kepatuhan kepada SOP adalah untuk kebaikan mereka juga.

Kluster tempat kerja melibatkan subkluster pembuatan, pembinaan, perkhidmatan dan pentadbiran awam.

Sehingga 14 Jun lepas, sebanyak 1,328 kluster tempat kerja dikesan yang mana 639 daripadanya membabitkan subkluster pembuatan.

Sebelum ini, KKM mendedahkan, negara berdepan dengan peningkatan kluster baharu komuniti yang membabitkan sekali subkluster perayaan.

Dalam masa sama, kluster rentas negeri yang berpunca daripada aktiviti menziarahi keluarga, majlis perkahwinan, majlis hari jadi, majlis pengebumian atau kursus turut menyumbangkan peningkatan kepada kes jangkitan baharu di negara ini.

Bagaimanapun, kluster berkenaan berjaya dikawal dan jumlahnya semakin berkurangan jika dibandingkan dengan kluster tempat kerja.

Malah, kluster-kluster lain yang sebelum ini disenaraikan oleh KKM sebagai penyumbang kepada peningkatan kes harian juga mula menunjukkan penurunan.

Sehingga 16 Jun, negara mencatatkan sebanyak 2,532 kluster yang mana 788 daripadanya adalah kluster aktif.

Daripada jumlah itu sebanyak 10 kluster berkaitan tempat kerja manakala lima kluster komuniti dan empat kluster kumpulan berisiko tinggi.

Justeru, penting bagi majikan dan pekerja mematuhi SOP ditetapkan agar kluster baharu tempat kerja dapat dikawal dan dikurangkan jumlahnya.