Dua pekerja maut setiap hari akibat ulang alik tempat kerja

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Individu berumur 35 tahun dan ke bawah terdiri daripada sektor pembuatan, perkhidmatan dan pertanian antara kumpulan tertinggi yang terlibat dalam kemalangan maut pada tahun lalu.

Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, sejumlah 32,976 kes kemalangan jalan raya membabitkan pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) direkodkan sepanjang tahun lalu.

"Sejumlah 45 peratus daripada 651 kes kemalangan maut merupakan sumber tenaga kerja yang produktif dan penyumbang utama kepada ekonomi keluarga dan juga negara terdiri daripada mereka yang berumur 35 tahun dan ke bawah.

"Secara purata terdapat dua pekerja maut setiap hari yang berpunca daripada kemalangan semasa dalam (perjalanan) berulang alik dari tempat kerja," katanya.

Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso, John Riba Marin ketika dalam majlis Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Aidilfitri 2023 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada Khamis.
Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso, John Riba Marin ketika dalam majlis Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Aidilfitri 2023 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada Khamis.

Teks ucapan itu dibacakan Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso, John Riba Marin dalam majlis Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Aidilfitri 2023 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini pada Khamis.

Katanya, terdapat 171 kes kemalangan maut direkodkan daripada 7,136 kemalangan jalan raya melibatkan pekerja yang dilindungi Perkeso di Selangor pada tahun lalu.

Sementara itu, Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Aidilfitri 2023 sempena Ops Lancar di sini dilancarkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

Pada Selasa, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan Op Lancar bagi memastikan kelancaran pergerakan pengguna jalan raya dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, fokus Op Lancar melibatkan semua kawasan yang dijangka berlaku kesesakan aliran lalu lintas akibat pergerakan pengguna jalan raya.