Biar hidup susah, wanita nekad jaga adik bisu, pekak

Shahrizal (dua dari kanan) menyampaikan bantuan kepada Normala yang turut disertai Nora di Kampung Tali Air 7, Sungai Leman, Sabak Bernam pada Khamis.
Shahrizal (dua dari kanan) menyampaikan bantuan kepada Normala yang turut disertai Nora di Kampung Tali Air 7, Sungai Leman, Sabak Bernam pada Khamis.
A
A
A

SABAK BERNAM - Demi kasih terhadap adiknya yang pekak dan bisu, seorang kakak nekad memikul tanggungjawab menjaga adik kesayangannya itu.

Normala Abd Manap, 46, berkata, selain menjaga adiknya, Nora Abd Manap, 37, dia turut menjaga tiga anak Nora berusia lapan, sembilan dan 15 tahun bagi memastikan mereka tidak terbiar.

Menurutnya, biar kehidupannya susah sekali pun, tetapi dia tetap nekad untuk memikul amanah tersebut selain mengetepikan kepentingan serta kemahuan sendiri.

"Mereka darah daging saya dan tidak tergamak saya membiarkan Nora menjaga tiga anaknya sendirian.

"Saya sudah anggap semua anak Nora sama seperti anak sendiri, tanpa saya bagaimana nasib mereka, ke mana mereka hendak menumpang teduh dan berkongsi kasih sayang," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Normala yang juga ibu tunggal kepada seorang anak berkata, adiknya itu sebelum ini pernah berkahwin tetapi sudah berpisah dengan bekas suami.

"Nora sebenarnya ada empat anak, tetapi anak sulungnya tinggal dengan ibu bekas suami, manakala tiga lagi anaknya dijaga oleh saya sejak kecil.

"Alhamdulillah kesemua anak Nora tidak pekak dan bisu, malah mereka bersekolah seperti biasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Normala, pada masa ini, dia dan Nora serta tiga anak saudaranya itu menumpang di rumah nenek saudara mereka di Kampung Tali Air 7, Sungai Leman di sini.

"Saya bersyukur kerana nenek saudara dan anak-anaknya membenarkan kami menumpang di sini dan mereka amat mengambil berat tentang keadaan kami," katanya.

Normala yang merupakan anak sulung daripada lima beradik memberitahu, kehidupan mereka sekeluarga bergantung kepada pendapatannya yang mengambil upah sebagai tukang urut wanita selain bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan bantuan kewangan daripada adik beradiknya lain.

"Pendapatan tukang urut di kampung tidak menentu, kadang-kadang ada rezeki dapat lebih dan begitu juga sebaliknya.

"Pada musim PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ini, pendapatan saya terjejas teruk dan memang bergantung sepenuhnya pada bantuan daripada LZS," ujarnya.

Katanya, mereka amat mengharapkan bantuan daripada masyarakat setempat untuk membantunya terutama tiga anak Nora yang masih bersekolah.

"Saya akui memang sering mengalami masalah kewangan kerana memerlukan perbelanjaan lebih untuk menguruskan tiga anak Nora bersekolah selain membeli barangan keperluan lain.

"Saya cuba ikhtiar menyediakan kelengkapan sebaik mungkin bagi memastikan nasib dan masa depan mereka terbela terutama demi pendidikan anak-anak Nora," katanya.

Sementara itu, kesulitan dilalui keluarga itu mendapat perhatian daripada Persatuan Kelab Kami Kasih Darul Ehsan (Kekasih).

Pengerusinya, Shahrizal Sungip berkata, pihaknya membantu keluarga tersebut dengan menyediakan sumbangan barangan keperluan dan peranti telekomunikasi.

Katanya, pihaknya amat simpati dengan nasib dialami keluarga berkenaan dan berharap bantuan itu meringankan beban ditanggung selain memudahkan anak-anak Nora mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Keluarga ini merupakan salah seorang penerima daripada 50 keluarga yang telah kami bantu sejak penubuhan Kekasih pada November tahun lalu," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun bank Agrobank (2005571000098333) atas nama Normala Abd Manap atau menghubunginya di talian 011-21395685.