Hidupkan kembali keindahan Tasik Chini

Nasita Dewi
Nasita Dewi
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang diminta menghidupkan semula keindahan Tasik Chini supaya kawasan itu kembali menjadi tarikan pelancongan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Gumum, Nasita Dewi K Paramanantham berkata, perkara itu antara harapan dan kepercayaan terhadap Kerajaan Pahang selepas Istana Pahang menyarankan agar aktiviti perlombongan dihentikan di kawasan itu.

"Kita menaruh harapan dan kepercayaan yang tinggi kepada Kerajaan Pahang untuk terus membantu permasalahan kampung-kampung Orang Asli sekitar Tasik Chini terutama dalam menambah baik sumber ekonomi dan infrastruktur di dalam kampung serta menghidupkan kembali keindahan Tasik Chini yang begitu popular dengan legenda Tasik Chini di persada dunia.

"Jadi, kami merayu agar tiada lagi aktiviti perlombongan diadakan bagi memastikan Tasik Chini dapat dinikmati keindahannya sehingga anak cucu kami," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Isnin, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyarankan agar perlombongan dihentikan, selain mencadangkan agar kawasan bekas lombong itu dipulihkan semula dengan penanaman pokok yang bersesuaian.

Baginda juga mahu keluasan Hutan Simpanan Kekal Chini, Pekan diperluas daripada 4,600 hektar kepada 6,000 hingga 7,000 hektar.

Beliau berterima kasih kepada Tengku Hassanal di atas titah baginda berhubung isu perlombongan, kemusnahan flora dan fauna serta ekosistem yang ada di persekitaran Tasik Chini.

"Keprihatinan Tuanku (Tengku Hassanal) yang telah membuat lawatan mengejut ke kawasan Tasik Chini dan kampung amat kami hargai.

Artikel Berkaitan:

"Malah, komitmen Kerajaan Pahang dan pihak yang terbabit berkaitan isu Tasik Chini memberi sedikit kelegaan kepada penduduk," ujarnya.