Orang ramai boleh beri input tuntutan menerusi Manifesto Rakyat

Rakyat kini boleh memberikan input tuntutan yang dimahukan oleh mereka menerusi Manifesto Rakyat.
Rakyat kini boleh memberikan input tuntutan yang dimahukan oleh mereka menerusi Manifesto Rakyat.
A
A
A

SHAH ALAM - Orang ramai atau rakyat kini boleh memberikan input tuntutan yang dimahukan oleh mereka menerusi Manifesto Rakyat hasil inisiatif dua pertubuhan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) dan Platform Pertubuhan Masyarakat Madani Untuk Perubahan (CS0).

Jurucakap Manifesto Rakyat, Badlishah Sham Baharin berkata, manifesto itu berbeza dengan yang dikeluarkan oleh parti politik kerana ia bermula daripada bawah atau rakyat berbanding manifesto parti politik ditulis daripada atas iaitu parti politik.

“Kita ambil pendekatan yang berlainan iaitu daripada rakyat ke atas. Kita hendak menggambarkan Manifesto Rakyat ini adalah tuntutan rakyat, suara rakyat dan suara daripada bawah yang melambangkan apa yang menjadi kerisauan atau yang ingin mereka ketengahkan untuk dicari solusi bagi permasalahan tersebut.

“Ini lebih komprehensif dan ikhlas daripada rakyat yang disuarakan sendiri apa yang dikehendaki dan tuntutannya yang mana diminta wakil rakyat dan kerajaan cuba selesaikan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Badlishah berkata, tujuan dibuat Manifesto Rakyat ini ialah bagi memungut suara rakyat Malaysia menuju sebuah negara yang harmoni dan progresif.

“Tuntutan ini dapat membimbing pemerintah yang terpilih secara demokratik bagi memenuhi tanggungjawab sosial mereka untuk memelihara semua lapisan masyarakat supaya tidak ada yang ketinggalan.

“Ini termasuklah golongan yang terpinggir, golongan yang tertindas atau yang tidak ada suara semua ini diambil kira. Kita tidak memfokus kepada golongan tertentu,” katanya.

Menurutnya, Manifesto Rakyat terbahagi kepada tiga tonggak dan terdapat 27 tema polisi.

Artikel Berkaitan:

“Tonggak pertama ialah perpaduan dalam kepelbagaian, tonggak kedua mempromosi, menambah baik dan mempertahan kebebasan masyarakat sivil manakala tonggak ketiga menuju ke arah masyarakat yang adil, saksama dan demokratik,” katanya.

Badlishah berkata, pihaknya juga mengalu-alukan mereka dari Sabah dan Sarawak menyumbang dan memberikan input kepada apa yang dikehendaki menerusi Manifesto Rakyat.

Selain itu katanya, jika ada input atau cara terbaik untuk membasmi rasuah atau polisi rasuah yang mahu diperkenalkan juga dialu-alukan dan semua perkara itu boleh diberikan dalam 27 tema polisi terbabit.

Beliau berkata, selepas input berkenaan diperoleh, satu ‘townhall’ atau majlis awam akan diadakan bagi membincangkan perkara apa yang penting dan yang perlu dimasukkkan dalam manifesto berkenaan.

Sementara itu, Penyelaras Utama Manifesto Rakyat, Dr Lim Chee Han berkata, Manifesto Rakyat ini telah bermula pada 11 Mei lalu dan akan berakhir pada 11 Ogos ini.

Beliau berkata, mereka yang mahu mendapatkan malumat dan perkembangan terkini boleh melayari Facebook Manifesto Rakyat 2021.

“Bagi mereka yang mahu mengemukakan cadangan boleh menghantarnya menerusi pautan http://bit.ly/ManifestoRakyat.

“Sesiapa yang membawa cadangan jika suara mereka termasuk dalam manifesto, nama pencadang itu akan tersiar atau terpapar dalam Manifesto Rakyat,” katanya.