X

Kindly register in order to view this article
!

'Ada yang selit RM1 tanda terima kasih'

Ahmad Mizuan dan Ahmad Shahriman menyusun barangan di Gerobok Rezeki Opah Minah sebagai bekalan baru bagi penduduk yang memerlukan.
A
A

IPOH - Usaha sebuah keluarga mewujudkan gerobok rezeki di laman kediaman mereka di Kampung Tua, Tanjung Belanja di sini benar-benar dihargai penduduk.

Tidak sekadar mengambil barangan makanan diperlukan, penduduk yang rata-rata datangnya dari keluarga kurang berkemampuan dan sebahagiannya terkesan akibat pandemik Covid-19 masih mahu membalas usaha terbabit dengan menyelitkan wang RM1 sebagai tanda terima kasih.

Ahmad Mizuan Ahamad Tekmezi, 39, yang mengasaskan gerobok rezeki itu berkata, pada peringkat awal, usaha itu kurang mendapat sambutan kerana ada sebahagian penduduk berasa malu selain kurang faham dengan konsep gerobok rezeki.

Bagaimanapun katanya, selepas kira-kira sebulan, inisiatif digerakkan menerusi 'Gerobok Rezeki Opah Minah' itu mula menjadi tumpuan penduduk kampung dan kawasan sekitarnya bagi mendapatkan bekalan makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

"Antara sebab kami wujudkan gerobok rezeki ini adalah untuk membantu penduduk kampung dan rakan-rakan yang berada dalam kesusahan.

"Tetapi apa yang mengharukan kami, dalam keadaan mereka susah, mereka tetap menunjukkan tanda penghargaan terhadap usaha ini. Mereka ambil barang dan tinggalkan wang RM1 sebagai tanda ucapan terima kasih," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Rabu.

Beliau berkata, gerobok rezeki yang dibina di tepi laluan utama kampung itu memuatkan barangan keperluan harian seperti beras, minyak, tepung, gula, sardin, mihun, mi segera, kicap, milo, teh, susu tin dan biskut.

Ahmad Mizuan (kiri) bersama adik lelaki, Ahmad Shahriman (kanan), Ahamad Danial Hijjaz (dua, kiri) serta ibu bapanya, Ahamad Tekmezi Zakaria dan Zuhaidah Taharim di hadapan Gerobok Rezeki Opah Minah.
Ahmad Mizuan (kiri) bersama adik lelaki, Ahmad Shahriman (kanan), Ahamad Danial Hijjaz (dua, kiri) serta ibu bapanya, Ahamad Tekmezi Zakaria dan Zuhaidah Taharim di hadapan Gerobok Rezeki Opah Minah.

Katanya, kos pembelian barangan berkenaan adalah hasil kutipan dibuat kalangan ahli keluarga dan saudara mara serta sumbangan orang perseorangan.

"Kalau dulu, dua minggu sekali kami akan 'restock' barang, tetapi sekarang seminggu tiga kali... Alhamdulillah ini bermakna ramai penduduk yang mendapat manfaat daripada usaha ini.

"Di gerobok ini, Insya-ALLAH, barang sentiasa ada, jadi mereka yang terputus bekalan barang-barang dapur bolehlah ambil di sini tak kira siang atau malam, bila-bila masa sahaja kerana gerobok ini tidak berkunci," katanya.

Ahmad Mizuan yang bertugas sebagai Penolong Jurutera di Majlis Daerah Perak Tengah memberitahu, Gerobok Rezeki Opah Minah yang digerakkan itu selari dengan hasrat menyambung amalan bersedekah yang sering dipraktikkan arwah datuk dan nenek mereka, Allahyarham Taharim Yoep Mohamad dan Allahyarham Aminah Abdul Zabry.

Katanya, arwah nenek yang mesra dipanggil Opah Minah itu mempunyai hubungan rapat dengan penduduk kampung dan sentiasa bermurah hati membantu mereka yang dalam kesusahan.

"Saya dan adik-beradik lain membesar di sini, jadi kami cukup rapat dengan arwah. Sebagai cucu sulung, saya ambil kesempatan ini untuk jadikan penghargaan kepada arwah kerana membesarkan kami," katanya.

Mereka yang ingin menyumbang atau mendapatkan maklumat mengenai Gerobok Rezeki Opah Minah boleh menghubungi Ahmad Mizuan di talian 0123361342 atau adiknya, Ahmad Shahriman, 0193292344.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!