Harga sayur-sayuran naik hingga 40 peratus

Sebuah kebun sayuran yang belum dapat dituai di Kampung Raja, Cameron Highlands, Pahang.
Sebuah kebun sayuran yang belum dapat dituai di Kampung Raja, Cameron Highlands, Pahang.
A
A
A

SHAH ALAM - Beberapa harga sayur-sayuran mengalami peningkatan mulai Isnin susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Cameron Highlands, Pahang.

Antara harga sayur-sayuran yang dijangka meningkat ialah tomato, timun jepun, cili, kobis, kacang buncis, lada manis atau lada benggala dan semua jenis salad.

Difahamkan, peningkatan harga berlaku antara 30 hingga 40 peratus kerana pengeluaran terpaksa dihenti serta-merta.Punca utama ialah 12,000 pekerja asing dan tempatan di kawasan tanah tinggi itu tidak dapat keluar bekerja.

Menurut Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan-Persatuan Pekebun Sayur Malaysia, Chay Ee Mong, bekalan memang akan terjejas kerana setiap hari Cameron Highlands mengeluarkan sebanyak 565 metrik tan sayur-sayuran.

“Semua sayur-sayuran di Cameron Highlands naik kerana baki bekalan sayur-sayuran tidak sampai dalam 40 peratus. Jadi bakinya itu pasti akan ditawarkan pada harga yang tinggi.

"Hari ini (Isnin) patut sudah boleh nampak kesan kenaikan harga di pasaran. Dijangka petang ini (Isnin), sayur-sayuran akan sampai ke pasar borong. Sebab ini consignment, sudah jual baru mereka bayar kepada petani. Baru kita tahu harga akan melonjak atau tidak tetapi mesti harga melonjak sebab bekalan sayur kurang,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Pada Sabtu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, antara kawasan di Cameron Highlands yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Isnin ialah Kampung Raja iaitu Sungai Ikan; Blue Valley; Taman Matahari Cerah; Taman Desa Corina dan Kampung Baru Kampung Raja.

Ekoran daripada itu, dianggarkan sebanyak 65 peratus pengusaha kebun sayur di kawasan Cameron Highlands terjejas susulan PKPD terbabit.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ee Mong berkata, produk sayuran Cameron Highlands bukan sahaja untuk pasaran tempatan malah untuk dihantar ke Singapura.

“Biasanya ada yang dihantar ke pasar borong Singapura. Untuk pasaran tempatan, akan dihantar ke Pasar Borong Kuala Lumpur.

“Kemudian separuh daripada bekalan akan diagihkan ke beberapa pasar raya Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. Selain itu, sebahagian kecil juga akan dihantar ke Ipoh,” ujarnya.

Menurutnya, barang-barang yang diperlukan dalam sektor pertanian atau dipanggil sebagai input pertanian seperti baja, benih, ubat serangga, pembungkusan sayur-sayuran dan sebagainya turut terjejas serta mengalami kenaikan harga.

Ketika ditanya mengenai tenaga kerja, Ee Mong berkata, pelaksanaan PKPD di situ menyebabkan seramai 12,000 pekerja tidak dapat bekerja dan menjaga sayur-sayuran di kawasan ladang kebun terbabit.

Katanya, dianggarkan lebih daripada 11,000 pekerja warga asing serta 1,200 pekerja tempatan yang terdiri daripada pemandu, pembungkus sayur dan kerani tidak dapat bekerja.

“Semua tidak boleh masuk. Ini yang menjadi masalah. Siapa yang akan menjaga ladang? Jika kerajaan membenarkan separuh daripada mereka bekerja atau misalnya bagi 60 peratus pekerja itu pun munasabah tetapi sekarang langsung tidak boleh (bekerja),” ujarnya.

Susulan itu, Ee Mong menggesa kerajaan mengambil serius mengenai isu tersebut bagi memastikan industri pertanian dapat beroperasi semula.

“Kami mohon agar kerajaan membenarkan aktiviti-aktiviti sektor pertanian boleh dibenarkan beroperasi dengan syarat Majlis Keselamatan Negara buat saringan Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag) untuk semua pekerja ladang kebun.

“Bukan mahu kerajaan memberi kelonggaran (SOP) tetapi mahu ada satu kaedah menang-menang supaya petani tidak akan ‘mati’ dan pengguna pula tidak mengalami pengurangan bekalan makanan,” jelas beliau.

INFO

HARGA SAYUR Harga Asal/kg Harga jangkaan naik 20% / kg

Tomato RM4 RM4.80

Timun hijau RM3 RM3.60

Cili merah RM8 RM9.60

Kubis RM5 RM6

Kacang buncis RM15 RM18