Pasaran getah dijangka didagangkan dalam jajaran kecil

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PASARAN getah Malaysia dijangka didagangkan dalam jajaran kecil pada minggu hadapan dengan kecenderungan ke arah harga serta permintaan yang lebih rendah.

Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysi,a Denis Low menjangkakan bekalan lateks pukal yang lebih kukuh dan ini akan menurunkan harga, tambahan pula, permintaan adalah agak lembap di hadapan pasaran yang terlebih bekalan.

"Penggunaan lateks pukal yang lebih rendah juga bermakna ketersediaan longgokan getah kering dan oleh itu, harga getah kering berkemungkinan jatuh," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, pasaran getah akan menjadi lesu pada minggu yang akan datang selepas program pemulihan ekonomi global masih di tahap merangkak.

"Ia adalah situasi yang sukar yang berpunca daripada pandemik ini, tambahan pula, pemulihan daripada serangan virus ini berbeza dengan satu rantau ke rantau lain.

"Walaupun Eropah dan Amerika seolah-olah berjaya mengatasinya, banyak lagi negara yang masih terperangkap dalam senario kes terburuk buat masa sekarang," katanya lagi.

Untuk minggu yang baru berakhir, pasaran ditutup hampir bercampur-campur dan lebih rendah, menjejaki pasaran niaga hadapan serantau serta harga minyak.

Pasaran domestik ditutup pada Isnin lepas sempena dengan hari keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Artikel Berkaitan:

Secara mingguan, harga fizikal rujukan Lembaga Getah Malaysia (MRB) bagi SMR 20 susut 21 sen kepada 661.5 sen sekilogram manakala lateks pukal turun 32 sen kepada 568.0 sekilogram.

Pada 5 petang Jumaat, harga penutup MRB untuk SMR 20 berada pada 659.5 sen sekilogram manakala lateks pukal berada pada 565.0 sen sekilogram. - Bernama