Ringgit susut berbanding dolar AS pada sesi awal

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

RINGGIT rendah berbanding dolar AS pada sesi dagangan awal hari ini walaupun mata wang Amerika Syarikat (AS) itu terus menunjukkan kecenderungan penurunan selepas data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tidak menggalakkan menjelang pengumuman inflasi oleh Fed untuk Mac, malam ini.

Pada 9 pagi, ringgit merosot kepada 4.7770/7825 berbanding dolar AS daripada 4.7745/7775 pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, KDNK AS pada suku pertama 2024 lebih rendah daripada jangkaan pada 1.6 peratus berbanding unjuran konsensus pada 2.5 peratus, menunjukkan ekonomi lembap dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Ini menyebabkan Indeks Dolar AS (DXY) merosot kepada 105.598 mata.

Pada suku pertama 2024, indeks harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) lebih tinggi pada 3.4 peratus daripada 1.8 peratus pada suku tahun sebelumnya, menunjukkan tekanan inflasi yang kekal.

"Justeru, terdapat petunjuk bercampur-campur mengenai kadar AS tetapi ekonomi yang lembap agak ketara.

"Sehubungan itu, kami menjangka ringgit akan disokong dengan baik sejajar dengan penurunan DXY,” katanya kepada Bernama.

Ringgit kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Artikel Berkaitan:

Ia meningkat berbanding pound kepada 5.9732/9800 daripada 5.9748/9786 semalam, bagaimanapun merosot berbanding yen Jepun kepada 3.0693/0730 daripada 3.0677/0698 dan berbanding euro kepada 5.1243/1302 daripada 5.1211/1243 sebelum ini.

Ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang ASEAN.

Mata wang tempatan susut berbanding baht Thailand kepada 12.9010/9208 daripada 12.8939/9087 semalam dan rendah berbanding peso Filipina kepada 8.27/8.28 daripada 8.26/8.27.

Ia merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 295.1/295.5 daripada 294.9/295.2 pada Khamis dan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.5141/5184 daripada 3.5120/5144. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!