'Dari kecil nak wakil Malaysia, banggakan mak ayah'

Muhammad Danial Azrol (kanan) dan Muhammad Danial Azray menunjukkan pingat emas dimenangi dalam acara silat seni ganda pada Sukan SEA 2023 di Pusat Konveksyen Chroy Changvar pada Ahad.
Muhammad Danial Azrol (kanan) dan Muhammad Danial Azray menunjukkan pingat emas dimenangi dalam acara silat seni ganda pada Sukan SEA 2023 di Pusat Konveksyen Chroy Changvar pada Ahad.
A
A
A

GANDINGAN pesilat kembar Muhammad Danial Azray Noorazizan dan Muhammad Danial Azrol mempertahankan pencapaian Malaysia dalam acara seni ganda putra selepas merangkul emas pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja.

Pada final berlangsung di Pusat Konvensyen Chroy Changvar, kepelbagaian teknik pasangan negara itu berjaya memukau juri apabila mengumpul keseluruhan 9.945 mata untuk menewaskan gandingan Filipina Alfau Jan Esmael Abad-Almohaidib Esmael Abad yang meraih 9.885 mata.

Lebih manis, ia merupakan penampilan pertama atlet berusia 21 tahun ini iaitu Muhammad Danial Azray dan adiknya Muhammad Danial Azrol di temasya sukan dwitahunan itu.

Kejayaan memenangi emas seni ganda putra menyaksikan pasangan kembar yang dilahirkan selang enam minit itu mengekalkan dominasi Malaysia dalam acara tersebut selepas Mohd Taqiyuddin Hamid-Sazlan Yuga merangul kilauan sama pada edisi 2021 di Hanoi, Vietnam tahun lalu.

"Walaupun ini temasya sulung saya tetapi dengan berkat doa dan rezeki saya dapat mengharumkan nama negara dan berikan emas pertama buat kem silat," kata Danial Azrol ketika ditemui media tempatan selepas tamat aksi final di sini.

Katanya mereka mengambil masa tiga tahun untuk mahir dalam acara seni menjelang Sukan SEA kali ini selepas mula menceburi silat seawal usia empat tahun.

Sementara itu, Danial Azray berkata, dia tidak pernah terfikir akan menggenggam kilauan emas Sukan SEA terutama pada penampilan pertama sejak menceburi silat.

"Saya tak terfikir (menang emas) cuma apa yang saya fikir dari kecil saya nak wakil Malaysia dan banggakan mak dan ayah saya," katanya.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan rasa terima kasih kepada semua pihak terutama kedua ibu bapanya yang sentiasa memberi dorongan dan sokongan kepada mereka berdua.

"Walaupun berada jauh, mereka (ibu bapa) telefon tadi, ucapkan buat yang terbaik dan bacakan surah Yasin untuk kami supaya kami tenang, Alhamdulillah dengan berkat itu kami berjaya," katanya.

Saingan silat akan bersambung esok yang menyaksikan giliran acara tanding membuka gelanggang. - Bernama