X

Kindly register in order to view this article
!

Tun M bawa usul penubuhan Mageran ketika menghadap Agong

Dr Mahathir
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMASKINI] Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad telah membawa usul penubuhan satu pasukan khas seperti yang pernah diguna pakai pada 1969 iaitu Majlis Gerakan Negara (Mageran) bagi menangani krisis-krisis yang sedang melanda negara.

Bekas Perdana Menteri itu turut menyenaraikan empat krisis yang dihadapi negara ketika ini iaitu kesihatan, ekonomi, kewangan dan politik yang diyakini mampu diatasi dengan penubuhan Mageran ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis.

Bagaimanapun menurut Dr Mahathir, Al-Sultan Abdullah tidak menolak cadangan yang dikemukakan beliau sebaliknya menitahkan bahawa adalah lebih baik cadangan penubuhan Mageran itu datangnya daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Kita berpendapat bahawa Mageran mungkin akan berjaya (selesaikan krisis) kerana dalam badan itu termasuk bukan hanya orang politik tetapi juga pakar-pakar pelbagai bidang.

"Tapi menurut Yang di-Pertuan Agong kalau nak buat Mageran ini, kerajaan yang ada sekarang (PN) kena cadang kepada Agong.

“Saya tak yakin kerajaan nak tubuh Mageran sebab awal-awal lagi mereka dah kata tak perlukan Mageran kerana Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu kepada Agong bahawa situasi semasa dalam negara seperti pandemik Covid-19 berada dalam keadaan baik, ekonomi, kewangan, politik dan sosial juga baik sedangkan kita tahu hakikat sebenar yang sedang dihadapi negara sehingga dilabel rakyat sebagai kerajaan gagal," dalam sesi sidang akhbar secara dalam talian selepas sembah menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada Khamis.

Dr Mahathir menjelaskan, Mageran 1969 dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri waktu itu, Tun Abdul Razak Hussein telah berjaya menyelesaikan masalah politik apabila mengajak parti lawan menyertai kerajaan malah majlis itu juga telah menstabilkan politik dan ekonomi negara.

Justeru, beliau turut menawarkan sumbangan dalam penubuhan itu sekiranya ia dapat ditubuhkan.

“Pejuang telah kenal pasti apa sumbangan yang boleh Pejuang berikan. Kami tahu cara-cara untuk selesaikan masalah Covid-19, ekonomi dan kewangan dan juga politik serta sosial. Kami tawarkan sumbangan bukan untuk mengetuai Mageran.

"Kita ada idea tapi kita di luar kerajaan, jadi sukar untuk melaksana. Kerajaan PN mungkin boleh plagiat idea kita, tapi tak tau nak laksanakan," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!