Poay Tiong perlu hormati urusan agama Islam, bidang kuasa negeri

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong perlu lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan berkaitan hal ehwal agama Islam serta menghormati bidang kuasa kerajaan negeri.
Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri berkata, sebagai wakil rakyat, Khoo mempunyai tanggungjawab memahami kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, selain menghormati bidang kuasa kerajaan negeri.
Beliau berkata, sesuatu ketetapan negeri tidak seharusnya dipertikaikan secara terburu-buru tanpa memahami terlebih dahulu asas perundangan, konteks pentadbiran dan kepentingan di sebalik pelaksanaannya.
Menurutnya, Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, manakala hal ehwal Islam merupakan bidang kuasa negeri dalam kerangka pembahagian kuasa yang ditetapkan Perlembagaan.
"Justeru, pelaksanaan ketetapan berkaitan solat Jumaat di Terengganu perlu dihormati dan dinilai berdasarkan kerangka perundangan serta bidang kuasa pihak berkuasa negeri.
"Ia bukan sesuatu yang wajar dijadikan polemik secara terburu-buru sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah kepentingan umat Islam dan pelaksanaan tuntutan agama merupakan perkara yang boleh dipandang ringan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika menyokong penegasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan, yang mengingatkan Poay Tiong supaya menghormati urusan pentadbiran agama Islam di peringkat negeri serta sensitiviti umat Islam berhubung isu arahan penutupan sementara premis perniagaan ketika solat Jumaat di Terengganu.
Mohd Yahya mengulas lanjut berkata, beliau tidak mempertikaikan hak mana-mana wakil rakyat untuk mengemukakan pandangan, persoalan atau kritikan terhadap dasar kerajaan, namun hak bersuara perlu disertai tanggungjawab.
Menurutnya, kebebasan mengkritik tidak bermakna seseorang pemimpin boleh mengabaikan sensitiviti agama dan realiti masyarakat berbilang kaum serta kepercayaan.
Beliau berkata, Poay Tiong khususnya perlu lebih berhati-hati dalam memilih pendekatan dan bahasa apabila menyentuh isu berkaitan Islam.
"Sebagai pemimpin yang berpengalaman, beliau sepatutnya memahami bahawa sesuatu kenyataan yang dibuat tanpa penelitian menyeluruh boleh mencetuskan salah faham, mengeruhkan hubungan antara masyarakat dan menjejaskan usaha membina keharmonian negara," katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa menghormati agama orang lain adalah asas kepada perpaduan negara.
Menurutnya, dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, semua pihak dituntut saling menghormati, termasuk menghormati kepentingan dan tuntutan agama Islam sebagaimana umat Islam menghormati hak serta amalan agama masyarakat bukan Islam.
Sehubungan itu, beliau berharap Poay Tiong menerima teguran berkenaan secara terbuka dan matang serta menggunakan saluran perbincangan yang betul sekiranya mempunyai persoalan mengenai pelaksanaan atau kesan sesuatu ketetapan.
"Kita tidak memerlukan polemik yang boleh mencetuskan ketegangan agama. Apa yang diperlukan ialah kepimpinan yang matang, saling menghormati dan memahami bahawa keharmonian negara mesti dipelihara oleh semua pihak," katanya.
Beliau menegaskan perbezaan politik tidak boleh dijadikan alasan untuk mengetepikan sensitiviti agama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

