Saksi kejadian seret kucing diminta tampil

Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Gambar kecil: Ahmad Adnan
Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Gambar kecil: Ahmad Adnan
A
A
A

TELUK INTAN - Polis mencari perakam video dan saksi lain yang melihat kejadian lelaki yang disyaki melakukan penganiayaan terhadap haiwan dengan menyeret seekor kucing ketika menunggang motosikal di Langkap di sini pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihak terbabit diminta tampil bagi membantu melengkapkan siasatan polis.

"Berdasarkan keterangan suspek berusia 45 tahun itu, dia yang menunggang motosikal ditahan seorang individu dan menegur perbuatannya itu ketika membawa kucing untuk dibuang.

"Pada masa sama, terdapat individu lain yang merakam perbuatan suspek hingga tular di media sosial. Jadi, kita minta mereka ini tampil untuk membantu polis," katanya ketika ditemui pemberita pada Operasi Pemantauan SOP Covid-19 di sekitar Teluk Intan di sini pada Rabu.

Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015.

"Keterangan saksi kejadian diperlukan sebelum kertas siasatan diserahkan semula kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya.

"Difahamkan, kucing terbabit selamat dan tidak mati seperti yang disangkakan. Kucing itu terlepas dari sauk dan melarikan diri ke hutan berhampiran ketika suspek ditahan pengguna jalan raya lain," katanya.

Sabtu lalu, Sinar Harian melaporkan tindakan suspek menggunakan sauk untuk menangkap haiwan berkenaan sebelum dibuang ke kawasan kedai berhampiran.

Artikel Berkaitan:

Semasa dalam perjalanan tiba-tiba kaki depan kucing terkeluar menyebabkan ia dilihat seperti terseret di atas jalan.

Video tular berdurasi satu minit itu tular di media sosial setelah dimuat naik pengguna jalan raya hingga mendapat kecaman daripada warganet dengan tindakan kejam lelaki itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki nafi sengaja seret 'oyen'