Enam lelaki ditahan disyaki curi kabel TM

Lori yang disyaki digunakan suspek untuk mencuri kabel TM di Taman Sentosa, Klang turut dirampas.
Lori yang disyaki digunakan suspek untuk mencuri kabel TM di Taman Sentosa, Klang turut dirampas.
A
A
A

KLANG - Enam lelaki ditahan kerana disyaki mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) di Taman Sentosa, di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, dalam kejadian pada jam 2.30 petang, seorang juruteknik TM menerima aduan berkaitan gangguan talian di kawasan tersebut.

"Pengadu ke lokasi tersebut dan mendapati kabel TM sepanjang 20 meter telah dipotong dan dicuri, kerugian dianggarkan sebanyak RM500," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Hoong Fong berkata, sepasukan anggota polis membuat serbuan dan menahan enam suspek berusia 31 hingga 60 tahun pada Selasa.

"Hasil semakan mendapati dua daripada suspek yang ditahan mempunyai 24 rekod jenayah lampau," katanya.

Beliau berkata, sebuah lori dan motosikal yang disyaki digunakan suspek ketika kegiatan mencuri kabel turut dirampas bagi membantu siasatan.

"Hasil soal siasat mendapati kesemua suspek mencuri kabel tersebut di tempat kejadian pada waktu gelap, kemudian membakar kabel itu untuk memperoleh tembaga, sebelum ia dijual di kedai besi

buruk," katanya.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan reman sehingga Khamis.

"Kita masih dalam proses untuk melengkapkan siasatan sebelum dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

"Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian jenayah boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan ditalian 03-33762222," katanya.