X

Kindly register in order to view this article
!

Kesan buruk projek kolam udang, MB Perak digesa campur tangan

Pendapatan nelayan pantai yang menangkap ketam terjejas kerana kerosakan ekosistem hutan bakau. -Foto Facebook Mujahid Rawa
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menggesa Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad supaya campur tangan dalam isu membabitkan pembinaan projek kolam udang di kawasan hutan bakau Kuala Bagan Tiang.

Pengerusi Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (PH) Perak itu berkata, ini kerana bantahan dan penolakan tegas telah dilakukan oleh penduduk terhadap projek tersebut kerana ia dilihat bakal memberikan kesan buruk kepada alam sekitar.

Menurutnya, projek yang diluluskan agensi Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) kepada Syarikat Makmur Cemerlang Sdn. Bhd. dengan keluasan kira-kira 18.8 hektar juga dilihat bakal memberikan kesan kepada kepentingan dan keselamatan penduduk di kawasan berkenaan.

“Sebagai Ahli Parlimen Parit Buntar, saya bersama penduduk Kuala Bagan Tiang menentang keras projek yang menjejaskan alam sekitar termasuklah terhakisnya hutan kayu bakau yang sudah pun terancam.

Mujahid (depan, dua kiri) bersama Amanah Parit Buntar dan penduduk kampung meninjau aduan berkaitan hutan bakau di Kuala Bagan Tiang. - Foto Facebook Mujahid Rawa
Mujahid (depan, dua kiri) bersama Amanah Parit Buntar dan penduduk kampung meninjau aduan berkaitan hutan bakau di Kuala Bagan Tiang. - Foto Facebook Mujahid Rawa

“Pengusaha projek juga telah menceroboh had yang ditetapkan tanpa penguatkuasaan yang berkesan.

“Saya menggesa Menteri Besar campur tangan bersesuaian dengan Dasar Perak Lestari dan mendahulukan suara rakyat khususnya para nelayan supaya kehidupan generasi mereka dapat dilangsungkan,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, kelulusan projek kolam udang itu akan menjejaskan pendapatan penduduk dan nelayan yang menjadikan hutan bakau di sekitar kawasan tersebut sebagai sumber mencari rezeki.

Jelas beliau, yang lebih utama dalam isu tersebut adalah keselamatan kampung berdekatan yang akan terdedah kepada bahaya ribut dan tsunami apabila hutan kayu bakau dibangunkan untuk projek akuakultur.

“Projek sedia ada di sekitar Sungai Kota (Tanjong Piandang, Perak) pernah dibantah oleh penduduk kampung sebelum ini tetapi tidak diendahkan oleh kerajaan negeri.

“Tanpa hutan kayu bakau orang kampung juga terdedah kepada air pasang yang melimpahi kawasan perumahan berdekatan,” tegasnya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!