Aktivis masyarakat nafi anak hidap sakit kronik

Natipah menunjukkan laporan polis yang dibuat berhubung tindakan menggunakan nama dan gambar miliknya di Facebook, bagi memperdaya orang ramai. Gambar kanan: Seorang pengguna Facebook telah menggunakan gambar dan nama Natipah bagi memperdaya orang ramai.
Natipah menunjukkan laporan polis yang dibuat berhubung tindakan menggunakan nama dan gambar miliknya di Facebook, bagi memperdaya orang ramai. Gambar kanan: Seorang pengguna Facebook telah menggunakan gambar dan nama Natipah bagi memperdaya orang ramai.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang aktivis masyarakat menafikan dirinya berstatus ibu tunggal dan mempunyai anak menghidap sakit kronik seperti tular di media sosial.

Natipah Abu, 48, berkata, gambar dan kisah mengenai dirinya menjadi tular apabila dikaitkan dengan dua kes kanak-kanak sakit kronik yang dimuat naik seorang pengguna Facebook.

Menurutnya, kenyataan seperti yang dilaporkan menerusi hantaran terbabit adalah tidak benar sama sekali dan menggesa pihak berkuasa menjalankan tindakan sewajarnya.

"Saya bimbang gambar serta identiti telah disalah guna pihak tertentu bagi tujuan meminta simpati dan memperdaya orang ramai untuk memohon dana kepada tabung kebajikan yang tidak wujud," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurut Natipah, salah seorang kanak-kanak yang ditular telah selesai menjalani pembedahan manakala seorang lagi sedang dirawat di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz Universiti Kebangsaan Malaysia, namun hantaran di akaun terbabit menceritakan sebaliknya.

"Saya telah membuat laporan polis di Balai Polis Gurun, Kedah pada Isnin," katanya.

Katanya, laporan turut dipanjangkan kepada pihak bank bagi mengelakkan orang ramai terpedaya dengan penipuan 'scammer' terbabit.

Menurut Natipah, penularan maklumat palsu terbabit dikhuatiri menjejaskan reputasi beliau sebagai aktivis masyarakat yang mempunyai seramai kira-kira 70,000 pengikut di laman sosial Facebook.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pihaknya akan merujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi tujuan memadam gambar dan menyekat akaun terlibat.

"Keterangan telah diambil yang mana mangsa membuat laporan polis kerana tidak mahu bertanggungjawab ke atas gambar yang dimuat naik pihak tidak dikenali bagi tujuan meminta sumbangan," katanya.