Kerajaan Pahang beri ganjaran

Sebahagian atlet dan jurulatih bergambar kenangan pada majlis tersebut.
A
A

KUANTAN - Sejumlah RM241,042.50 geran dan insentif diberikan kepada Majlis Majlis Sukan Daerah, pemenang pingat Komanwel, Asia dan kejohanan bertaraf dunia di negeri ini, hari ini.

Jumlah itu meliputi nilai RM44,000 kepada pemenang pingat di Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018; RM21,500 kepada pemenang pingat di kejohanan bertaraf dunia; RM63,042.50 untuk pengurus dan jurulatih pasukan ke Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 dan RM2,500 kepada pemecah rekod SUKMA.

Sementara itu, sebanyak RM110,000 disediakan sebagai geran bantuan kerajaan negeri kepada 11 Majlis Sukan Daerah bagi tahun 2019.

Pengerusi Majlis Sukan Pahang, Datuk Sri Mohd Johari Hussain berkata, Kerajaan Pahang turut menyediakan suatu bentuk ganjaran yang dinamakan Skim Hadiah Kemenangan Sukan Majlis Sukan Pahang dengan menambah jumlah bayaran insentif kepada atlet yang berjaya.

"Kerajaan menerusi Majlis Sukan Pahang telah menyalurkan insentif kemenangan kepada atlet SUKMA pada 2016 berjumlah 224,450 kepada pemenang pingat dan RM62,300 kepada pengurusan pasukan.

"Pada 2017 sebanyak RM87,700 diberikan kepada 35 atlet yang memenangi pelbagai pingat Sukan SEA 2017 manakala RM246,800 keseluruhan pada 2018.

"Ini adalah satu usaha menghargai atlet yang berjaya. Apresiasi kepada mereka yang telah mengukir nama di persada dunia. Tak pernah kenal erti mengalah biar berpanas dan berhujan. Hari ini kita sekali lagi salurkan insentif dan geran," katanya mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, pada Majlis Penyampaian Insentif tersebut di Hotel Vistana di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Kerajaan Tempatan Abdul Rahim Muda yang juga ADUN Lepar dan Ahli Majlis Pengurus Majlis Sukan Pahang, Datuk Suhaimi Mohamed Shah.

Beliau yang juga Exco Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan Badan Bukan Kerajaan Pahang berkata, kerajaan negeri berpendapat sumbangan dan komitmen barisan pengurus pasukan dan jurulatih pasukan juga adalah penting dalam menentukan kejayaan atlet dan pasukan.

Menurutnya, kebijaksanaan mengurus serta melatih atlet adalah elemen penting dalam memburu pingat.

"Pemberian insentif ini diharapkan akan memberi galakan dan pencetus semangat kepada semua atlet serta pelaksana program ke arah mempersiapkan pasukan masing-masing menghadapi SUKMA 2020," katanya.

Atlet gimrama, Koi Sie Yan mendominasi insentif dengan jumlah RM23,000 di atas pencapaian perak bagi kategori belantan dan berpasukan serta pingat gangsa kategori riben, Sukan Komanwel Gold Coast Australia 2018.

Tiga atlet pencak silat di Sukan Asia Jakarta/Palembang 2017 turut menerima insentif berjumlah keseluruhan RM17,000.

Mereka ialah Mohd Al Jufferi Jamari menerima RM7000 kerana memenangi pingat perak kategori kelas E Putra; Mohd Hazim Amzad menerima RM5000 (gangsa Kelas C Putra) dan Mohamad Afifi Nordin Mohd Taqiuddin Hamid (gangsa kategori Ganda Putra).

Kejohanan Silat Dunia ke 18 Singapura 2018, Mohd Taqiyddin sekali lagi menerima insentif bersama dan Mohd Shahzlan Yoga sebanyak RM6000 bagi acara pencak silat kategori ganda putra atas pencapaian emas sukan itu.

Bagi Kejohanan 5 Sebelah Olimpik Musim Panas, Buenos Aires, Argentina 2018, atlet Muhammad Hamiz Mohd Khir, Muhammad Arif Syafir Ishak dan Muhammad Noor Firdaus Rosdi menerima RM4,500 bagi sukan hoki lelaki kerana memenangi pingat emas acara berpasukan lima sebelah.