Polis potong tali rentangi Sungai Golok

Penduduk di sepanjang Sungai Golok, Rantau Panjang memasang tali untuk aktiviti tukar barang di antara mereka dan negara jiran. Gambar kecil: Mohd Nasaruddin
Penduduk di sepanjang Sungai Golok, Rantau Panjang memasang tali untuk aktiviti tukar barang di antara mereka dan negara jiran. Gambar kecil: Mohd Nasaruddin
A
A
A

RANTAU PANJANG - Polis memotong semua tali yang dipasang oleh penduduk di sepanjang Sungai Golok di sini bagi mengekang aktiviti tukar barang yang berlaku di sempadan Malaysia-Thailand.

Operasi pemotongan tali pada Ahad itu dilakukan di tiga buah pangkalan haram sekitar bandar Rantau Panjang iaitu Syed Agil, Che Kassim dan Jambu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati penduduk menggunakan tali dari jenis nylon dan unjang yang dianggarkan sepanjang 20 hingga 30 meter merentangi sungai berkenaan.

Menurutnya, pemotongan tali itu merupakan salah satu usaha mencegah aktiviti penyeludupan barangan kontraban dan lain-lain ke negara ini.

Mohd Nasaruddin memberitahu, polis sama sekali tidak akan berkompromi dengan individu yang melanggar peraturan tersebut.

Katanya, pemantauan akan dilakukan dari masa ke masa di sepanjang pangkalan haram di Rantau Panjang dan Pasir Mas selain mengenal pasti empat lagi sektor yang mempunyai kawasan pangkalan haram.

"Empat sektor itu ialah Jeram Perdah, Bakong, Meranti dan Lubok Stol. Jeram Perdah ada empat buah pangkalan haram iaitu Sotar, Jeram Perdah Pasir, Bukit Lata dan Salleh Berek," katanya.

Mohd Nasaruddin menambah, tujuh lokasi pangkalan haram lain ialah di kawasan Bakong iaitu Mek Gombak, Maghribi, Ikan Kering, Pasir, Pak Ali, Pos Pulau dan Tanjong Baru.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu katanya, terdapat dua pangkalan haram di Meranti iaitu Pos Kaloi dan Wakaf Zin.