'Biarlah letih, asalkan anak jalani saringan Covid-19'

No Image Caption
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seorang suri rumah sanggup berkorban dan mengetepikan keletihan berulang-alik dua kali ke program Saringan Komuniti Covid-19 percuma bagi memastikan dua anaknya menjalani saringan berkenaan.

Noor Azizah Tukiman, 35, yang membonceng motosikal suaminya, Tukiman Shafiee, 50, sejauh lima kilometer berkata, pada mulanya hanya dia dan suami hadir menjalani saringan itu jam 10 pagi.

Bagaimanapun katanya, petugas memaklumkan individu yang hadir juga digalakkan membawa ahli keluarga lain termasuk kanak-kanak bagi menjalani saringan percuma.

"Selepas selesai saringan kami terus pulang ke rumah dan membawa dua anak ke pusat saringan Covid-19.

"Pada mulanya memang badan rasa letih hendak berulang-alik dari rumah ke pusat saringan, tetapi saya ketepikan semua perasaan itu demi kesihatan kami sekeluarga," katanya kepada Sinar Harian di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Kuching di sini pada Isnin.

Noor Azizah berkata, dia bersama dan dua anaknya iaitu Quratu'Aini Aisyah, 10, dan, Dhiya Sumayyah, 2, tiba di pusat saringan itu pada jam 12 tengah hari.

"Kos saringan di klinik swasta mungkin mahal tetapi hari ini percuma," katanya.

Katanya, ini kali pertama mereka sekeluarga berpeluang menjalani saringan Covid-19 sejak penularan pandemik berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah, anak-anak tidak menangis menjalani swab test dan ketika ini kami sekeluarga pula berdebar menunggu keputusan saringan," katanya.

Selain itu, Noor Azizah berkata, mereka sekeluarga menjalani saringan kerana bimbang ibunya yang berusia 55 tahun menghidap penyakit darah tinggi dan berisiko dijangkiti.

"Biasanya saya sering keluar rumah membeli barangan keperluan dan bimbang jika positif Covid-19 yang boleh menjangkiti keluarga," ujarnya.