X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

SPPP giat usaha selamatkan feri Pulau Pinang

Teik Cheng ketika meninjau keadaan Feri Pulau Pinang yang dimasuki air disebabkan kebocoran pada bilik enjin.
A
A

GEORGETOWN - Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) sedang giat melakukan usaha menyelamatkan feri Pulau Pinang yang sebelum ini dilaporkan nyaris tenggelam.

Pengerusinya, Datuk Tan Teik Cheng berkata, feri berkenaan condong selepas berlaku kebocoran sehingga menyebabkan bilik enjin feri berkenaan dipenuhi air.

Menurut beliau, kerja-kerja untuk mengepam air keluar dari feri akan dilakukan ketika air surut sebelum kerja membaiki kawasan yang bocor bagi memastikan Feri Pulau Pinang kembali terapung.

"Setelah SPPP mengadakan mesyuarat kecemasan pagi ini (Ahad) serta perbincangan secara maya dengan Penang Port Sdn Bhd (PPSB), kami memutuskan untuk mengepam air keluar pada jam 4 hingga 7 petang ini bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dibuat oleh PPSB dan kontraktor.

"Tidak ada cara lain untuk menaikkan feri ke darat dalam masa yang singkat dan hanya mengepam air keluar dari feri adalah satu-satunya kaedah terbaik yang dapat dilaksanakan ketika ini," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Teik Cheng berkata, feri Pulau Pinang telah lama berhenti operasi sejak 27 November 2019 disebabkan keadaannya yang usang selain enjinnya tidak dapat dibaiki.

Katanya, SPPP memutuskan untuk menempatkan feri Pulau Pinang di Limbungan Bagan Dalam kerana air di sana cetek dan tidak akan menyebabkan feri hanyut.

"Ketika perkhidmatan feri Pulau Pinang ditukar ke bot laju pada 1 Januari 2021, SPPP juga memasukkan feri Pulau Pinang dalam senarai muzium terapung.

"SPPP telah membuka tender RFP dari 29 Januari hingga 18 Mac lalu dan terdapat enam feri ikonik di Pulau Pinang yang mana satu dihadiahkan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang; dua akan dijadikan feri pelancongan, dua akan dijadikan restoran terapung; dan satu lagi akan dijadikan muzium terapung," katanya.

Beliau berkata, banyak syarikat telah mengemukakan kertas cadangan dan SPPP juga telah membuat banyak penilaian.

Katanya, walaupun tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menyebabkan banyak kekangan waktu, namun pihaknya dapat mengenalpasti calon-calon yang sesuai.

"Dua feri telah mendapat pembida yang memenuhi syarat. Tiga feri lagi juga ada pemohon yang sesuai.

"Dijangkakan pada Julai 2021, semua feri lama ikonik ini akan diserahkan kepada semua pembida yang berjaya," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!