RISDA usaha tanggani harga getah rendah di Sabah

Manndzri (tengah) ketika ditemui pemberita di Kampung Bilit, Sukau, Kinabatangan pada Jumaat.
Manndzri (tengah) ketika ditemui pemberita di Kampung Bilit, Sukau, Kinabatangan pada Jumaat.
A
A
A

KINABATANGAN - Usaha menyelaras dan seterusnya meningkatkan harga getah di Sabah terus dipergiatkan sebagai antara langkah membantu pekebun kecil keluar daripada garis kemiskinan, sejajar dengan agenda memperkukuh ekonomi luar bandar.

Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Manndzri Nasib berkata, usaha itu dilaksanakan selaras dengan arahan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya RISDA membantu golongan pekebun kecil sedaya upaya, khususnya ketika harga getah berada pada paras rendah dan tidak menentu.

Menurutnya, terdapat dua inisiatif utama yang sedang digerakkan di peringkat nasional bagi menangani isu harga getah yang menjadi keluhan terutama penoreh di Sabah.

"Kita pun tahu bahawa harga getah ini turun naik dan secara relatifnya rendah. Jadi, ada dua benda besar yang sedang dibuat oleh Datuk Seri dan juga kami di peringkat RISDA. 

"Satu, untuk menjadi pembeli utama getah di seluruh negara kerana itu boleh meningkatkan harga dan satu lagi adalah usaha melalui kaji selidik bersama Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) berkaitan penghasilan bahan bakar daripada getah," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan kepada pekebun kecil di Kampung Bilit, Sukau di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, RISDA turut melakukan lawatan ke beberapa negara bagi mendapatkan teknologi berkaitan dan membawa pulang kepakaran itu ke Malaysia sekiranya usaha tersebut dapat dimuktamadkan.

"Kita telah melakukan lawatan ke beberapa negara untuk membawa teknologi itu ke Malaysia. Insya-ALLAH, apabila getah boleh dijadikan bahan bakar, mungkin dalam tempoh 10 tahun lagi orang tidak panggil pokok getah. Orang panggil pokok minyak pula," katanya.

Mengulas perbezaan harga getah antara Sabah dan Semenanjung beliau berkata, struktur industri getah di Sabah berbeza kerana melibatkan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) berbanding Lembaga Getah Malaysia di Semenanjung dan Lembaga Industri Getah Sarawak (SARIB) di Sarawak.

"Di Semenanjung, harga boleh sekitar RM4 hingga RM4.50 sekilogram, manakala di Sabah sekitar RM3.50.

Artikel Berkaitan:

"Namun dalam tempoh dua tahun saya menjadi pengerusi, harga getah pernah mencecah RM5.01 sekilogram di Johor apabila pendekatan depo mula dilaksanakan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata RISDA kini sedang berusaha mengukuhkan kolaborasi strategik bersama LIGS dengan sokongan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi menyelaraskan harga, produktiviti serta manfaat ekonomi getah di Sabah.

"Kita memang berikhtiar untuk mengadakan depo berteknologi tinggi di Sabah, tetapi ia memerlukan sokongan dan persetujuan LIGS.

"Dengan hubungan baik antara Persekutuan dan kerajaan negeri ketika ini, saya percaya dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi kita boleh melihat penyelarasan dari segi harga, produktiviti dan manfaat sebenar pokok getah kepada pekebun kecil," katanya.

Ringkasan AI

  • RISDA menggerakkan inisiatif untuk meningkatkan harga getah di Sabah bagi membantu pekebun kecil keluar daripada kemiskinan
  • Inisiatif ini adalah selaras dengan arahan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
  • Terdapat dua inisiatif utama iaitu menjadi pembeli utama getah di negara dan menghasilkan bahan bakar daripada getah melalui kajian bersama universiti
  • RISDA menjalankan lawatan ke beberapa negara untuk mendapatkan teknologi penghasilan bahan bakar dari getah
  • RISDA berusaha mengukuhkan kolaborasi dengan LIGS untuk menyelaraskan harga dan manfaat ekonomi getah di Sabah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!