PKPD: NGO diminta beli barangan bantuan di syarikat pemborong, pengedar

Azman turut memantau harga ayam mentah dan barang keperluan lain dalam pemeriksaan SOP di sebuah pasar raya di Ipoh.
Azman turut memantau harga ayam mentah dan barang keperluan lain dalam pemeriksaan SOP di sebuah pasar raya di Ipoh.
A
A
A

IPOH - Badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu menyampaikan bantuan makanan kepada masyarakat yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dinasihatkan untuk mendapatkan bekalan di syarikat pemborong atau pengedar.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, pembelian berlebihan di kedai-kedai runcit boleh mengganggu rantaian bekalan setempat.

"Pihak pasar raya dan pekedai runcit membangkitkan isu apabila mereka mendapat permintaan tinggi daripada NGO. Kita berpesan kepada mereka untuk membeli barangan keperluan di saluran lain seperti pemborong dan pengedar.

"Kalau boleh jangan ganggu rantaian yang sedia ada dengan membeli di kedai-kedai kecil dan runcit yang menjadi sumber bekalan kepada orang ramai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Ops Bersepadu Pemeriksaan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di sebuah pasar raya di sini pada Ahad.

Menurut beliau, KPDNHEP sedia membantu pihak terlibat dengan memperkenalkan tempat untuk mendapatkan bekalan yang sesuai.

Pada masa sama, Azman berkata, sebanyak 41 kompaun bernilai RM283,500 dikeluarkan terhadap peniaga terutama sektor peruncitan dan stesen-stesen minyak yang gagal mematuhi sejak pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh sehingga Sabtu.

"Pada Sabtu sahaja terdapat 20 kes dikesan melibat operasi yang mana ada yang buka lebih awal daripada waktu yang dibenarkan, ada juga kita dapati mereka menutup lebih lewat perniagaan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Kesalahan lain apabila ada sektor yang tidak dibenarkan dibuka. Kita sentiasa buat pemeriksaan bagi memastikan semua dapat mematuhi undang-undang yang ditetapkan," katanya.

Katanya, seramai 2,262 pegawai penguat kuasa seluruh negara digerakkan bagi memastikan pematuhan SOP di semua premis perniagaan peruncitan, pemborongan, pengedaran dan restoran dalam tempoh Sekatan Pergerakan Penuh ini.