'Tiada agenda baharu dalam sidang media Menteri Kanan Pendidikan'

Anuar Ahmad
Anuar Ahmad
A
A
A

KUALA LUMPUR – Sidang akhbar khas Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Md Jidin lebih bersifat taklimat pengurusan sahaja kerana hanya membabitkan penjadualan dan tarikh persekolahan.

Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, sidang akhbar Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang ditunggu-tunggu itu tiada agenda baharu kecuali perkongsian beberapa tarikh dan jadual penting.

Anuar juga mendakwa menteri itu masih belum menjawab persoalan lebih besar yang diperlukan oleh ibu bapa termasuk enam perkara utama.

"Semua input tersebut penting tetapi ibu bapa dan masyarakat memerlukan lebih daripada sekadar input tarikh dan jadual.

“Sidang akhbar yang dilakukan tidak banyak agenda baharu khususnya berkaitan perancangan dan program KPM untuk mengurangkan keciciran pembelajaran anak-anak dan bagaimana usaha KPM membantu guru.

“Persoalan yang masih lagi tergantung-gantung ialah bolehkah calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dan guru-guru Tingkatan Lima diberikan keutamaan mendapatkan vaksin supaya mereka boleh hadir ke sekolah semula untuk sesi pembelajaran bersemuka bagi persediaan menghadapi peperiksaan SPM," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, kumpulan pelajar ini seharusnya menjadi keutamaan jangka pendek KPM kerana bakal menghadapi peperiksaan besar.

Anuar turut mempersoalkan mengenai program khas bagi penambahbaikan kursus dan latihan guru berkaitan Pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) serta bajet yang telah diperuntukkan oleh KPM untuk tujuan itu.

Artikel Berkaitan:

”Mengapa KPM tidak berkongsi guru yang telah berjaya melaksanakan PdPR untuk dicontohi oleh guru-guru lain dan diraikan oleh masyarakat?” katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau turut mempersoal strategi menyegerakan agihan 150,000 peranti kepada pelajar B40 kerana sudah hampir dua tahun PdPR dilaksanakan, semakin ramai pelajar khususnya dari golongan tersebut keciciran pembelajaran.

”Apakah ada skim pinjaman mudah, baucar atau subsidi untuk ibu bapa membeli komputer?” soal beliau.